Semak fakta: Hubungan seks berterusan mampu cegah COVID-19?

Najmi Syahiran Mamat
Mac 6, 2020 17:25 MYT
Tangkapan skrin yang dipercayai dimanipulasi itu menunjukkan seorang penyampai berita Amerika Syarikat, Wolf Blitzer berserta logo rasmi agensi berita itu. - Gambar Astro AWANI
“HUBUNGAN seks berterusan mampu bunuh koronavirus,” tulis satu kenyataan melalui tangkapan skrin yang didakwa milik laporan agensi berita antarabangsa CNN seperti tersebar dan tular di aplikasi Facebook dan Whatsapp.
Tangkapan skrin yang dipercayai dimanipulasi itu memaparkan penyampai berita stesen yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu, Wolf Blitzer berserta logo rasmi agensi berita itu.
Menurut portal semak fakta, Africacheck, berita itu sebaliknya tidak ditemukan di laman web rasmi CNN dan tiada sebarang sumber yang mengesahkan kenyataan itu.
Dalam pada itu, menerusi carian yang sama, portal semak fakta itu juga mendapati beberapa imej tangkapan skrin dimanipulasi dengan kenyataan yang berbeza.
Menerusi portal semak fakta berasingan, Dubawa juga memaklumkan kesalahan fakta itu pada Rabu malah membetulkan fakta hubungan seks berisiko menyebabkan jangkitan COVID-19 dan bukanlah satu kaedah penyembuhan seperti yang didakwa.
#CNN #coronavirus #COVID19 #Semak Fakta #SemakFakta
;