Seludup haiwan liar: Kuil Harimau popular diserbu pihak berkuasa Thailand

Agensi
Mei 31, 2016 09:44 MYT
Imej bertarikh 30 Mei 2016 ini menunjukkan salah seekor harimau yang menjadi mangsa aktiviti penyeludupan haiwan liar. - Foto AFP/Christophe ArchambaultLT
Pihak berkuasa hidupan liar Thailand pada Isnin telah menyerbu sebuah kuil Buddha yang popular dalam kalangan pelancong, untuk merampas tiga ekor harimau dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan haiwan liar.
Reuters melaporkan, pihak berkuasa bertegas mahu menyelamatkan lebih banyak harimau dari kuil yang terletak di daerah sebelah barat Bangkok itu.
Difahamkan, kuil itu menyimpan lebih 100 ekor harimau yang selama ini menjadi bahan tarikan untuk disentuh dan diambil gambar oleh pengunjung.
Walaupun destinasi itu dipromosi sebagai santuari, kuil itu sudah lama disiasat pihak berkuasa kerana disyaki ada kaitan dengan sindiket penyeludupan dan penganiayaan haiwan liar.
Aktivis hidupan liar selama ini mendakwa kumpulan sami di kuil itu membiakkan harimau secara haram, manakala sesetengah pengunjung mendakwa semua mamalia itu seperti sengaja diberi makan dadah untuk menenangkannya. Namun pihak kuil tegas menafikannya.
Serbuan pada Isnin itu adalah tindakan terkini pihak berkuasa sejak percubaan selama lebih 15 tahun lalu untuk menjadikan harimau-harimau itu di bawah kawalan kerajaan.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara, Adisorn Nuchdamrong, dilaporkan berkata, pasukannya berjaya merampas haiwan itu setelah mendapat waran khas.
"Kami ada waran mahkamah kali ini. Selama ini kami cuba dapatkan kerjasama pihak kuil tetapi gagal.
"Operasi ini juga adalah disebabkan tekanan antarabangsa yang prihatin tentang isu penyeludupan haiwan liar," ujar Nuchdamrong dipetik sebagai berkata.
Difahamkan lebih banyak harimau akan dirampas dari semasa ke semasa.
Thailand dikenal pasti sebagai hab sindiket penyeludupan pelbagai jenis haiwan liar dan eksotik untuk memenuhi permintaan pasaran gelap dunia.
Walaupun terdapat undang-undang perlindungan berkaitan haiwan liar di Thailand, kumpulan aktivis mendakwa penguatkuasaannya sangat lemah.
#Adisorn Nuchdamron #haiwan liar #Jabatan Taman Negara #kuil Buddha
;