Seludup dadah: Warganegara Malaysia ditahan polis Indonesia

Astro Awani
Disember 28, 2021 04:52 MYT
Jika didapati bersalah menyeludup dadah mengikut undang-undang Indonesia, suspek berdepan hukuman mati. - Gambar hiasan
POLIS Indonesia menahan lima suspek termasuk seorang warganegara Malaysia yang disyaki menyeludup 29 kilogram syabu dari Malaysia ke Indonesia.
Menurut Ketua Polis Sulawesi Tengah, Rudy Sufahriadi, kesemua mereka adalah sebahagian daripada sindiket dadah antarabangsa.
"Dengan kerjasama pihak Kastam, kami berjaya menangkap lima suspek, seorang daripadanya warga Malaysia.
"Mereka merupakan sebahagian jalinan penyeludupan dadah antarabangsa yang kami berjaya berkas di sini," kata Rudy pada satu sidang media di Palu, Sulawesi Tengah, pada Selasa.
Salah seorang suspek yang ditahan pada Sabtu lalu memaklumkan kepada polis mengenai lokasi dadah, yang dibawa dari China dan diseludup masuk dari Sabah ke Sulawesi Tengah melalui bot perikanan.
Susulan itu, empat lagi suspek ditahan, dipercayai terlibat dalam penyeludupan tersebut.
Jika didapati bersalah menyeludup dadah mengikut undang-undang Indonesia, mereka mungkin berdepan hukuman mati.
Seludup Dadah | Warganegara Malaysia ditahan polis Indonesia
#sindiket #Indonesia #warga Malaysia #Seludup dadah
;