Selfie punca anak ikan lumba-lumba maut, netizen kecam pelancong
Kohilah Sekaran
Februari 21, 2016 15:21 MYT
Februari 21, 2016 15:21 MYT
Gara-gara selfie, beberapa pelancong dikecam kerana menyebabkan seekor anak ikan lumba-lumba menemui ajal.
Seekor anak ikan lumba-lumba Franciscan mati selepas beberapa pelancong yang bermandi-manda di sebuah pantai di Santa Teresita, Argentina membawa ia keluar dari pantai untuk merakam ‘selfie’ bersamanya.
Memetik bebrapa laporan media antarabangsa, seorang pelancong yang berada di situ terlihat seekor ikan lumba-lumba berenang ke arah persisiran pantai, sebelum membawa ia keluar dari pantai tersebut.
Ikan tersebut kemudian diedarkan kepada beberapa pelancong yang berkumpul di situ untuk diberi peluang untuk merakam gambar.
Tetapi malangnya, anak ikan Franciscan itu maut sebelum dimasukkan kembali ke pantai.
Beberapa pakar fauna berkata ikan lumba-lumba itu maut kerana terdedah kepada suhu panas yang tinggi untuk masa yang lama.
Menerusi satu kenyataan, Yayasan Hidupan Liar Argentina memaklumkan kepada orang ramai berhubung kepentingan untuk membawa kembali ikan lumba-lumba ke pantai secepat mungkin jika mereka menemuinya di persisiran pantai.
Menurut yayasan itu, Franciscan yang berasal dari La Plata, Argentina merupakan spesies terancam.
Mereka berkata Franciscan, seperti ikan lumba-lumba yang lain, tidak boleh kekal di darat untuk tempoh masa yang lama.
“Ia mempunyai kulit yang tebal dan berminyak yang membekalkan haba, jadi cuaca panas boleh menyebabkan dehidrasi dan kematian,” kata yayasan itu di laman portal mereka.
Perkara ini bagaimanapun mengundang kemarahan orang ramai yang menyifatkan kejadian ini menyedihkan.
Di media sosial, rata-rata netizen berpendapat perkara seperti ini berlaku kerana tindakan beberapa pihak yang tidak prihatin.
Tambah mereka, tindakan ini menunjukkan ketamadunan manusia yang tertarik dengan dunia maya sehingga tidak menghiraukan akibatnya.