Selepas tujuh bulan, Gunung Everest kembali dibuka kepada pendaki
Agensi
November 3, 2020 19:26 MYT
November 3, 2020 19:26 MYT
KATHMANDU: Selepas tujuh bulan ditutup, gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest kembali beropersi kepada pendaki selepas Nepal membuka semula negaranya kepada pelancong.
Bagaimanapun buat masa ini, kemasukan pelancong adalah terhad terutamanya kepada pelancong yang ingin melakukan pendakian.
Ketua Pengarah Jabatan Pelancongan Nepal, Rudra Singh Tamang memaklumkan, langkah itu bagi memudahkan urusan dan kawalan.
Pengunjung perlu mendapatkan persetujuan terlebih dahulu, memberikan perincian perjalanan, menyewa syarikat pakaian tempatan dan mempunyai insurans kesihatan yang merangkumi rawatan COVID-19.
Pengunjung juga perlu melakukan ujian saringan terlebih dahulu di negara asal dan menjalani proses kuarantin selama seminggu di hotel di Kathmandu sebelum menjalani ujian saringan sekali lagi.
Selain itu, pekerja yang terlibat denan pendakian seperti tukang masak, malim gunung dan pasukan sokongan juga diminta menjalani ujian saringan bagi memastikan mereka bebas COVID-19
Sehingga kini Nepal melaporkan 176,500 kes positif dengan 984 kematian.