Selepas tiga tahun, Maharaja Jepun buat kemunculan pertama sempena tahun baharu

Bernama
Januari 2, 2023 20:47 MYT
Naruhito bertitah baginda berasa "amat dukacita menyaksikan korban yang ramai" akibat konflik di seluruh dunia. - Gambar fail/ Reuters
ISTANBUL: Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito pada Isnin bertitah sempena sambutan tahun baharu sekali gus menyaksikan penampilan baginda secara terbuka bersama rakyat selepas hampir tiga tahun.
"Selepas tiga tahun, beta berasa sukacita untuk menyambut tahun baharu bersama anda semua
"Beta berharap tahun ini akan menjadi tahun yang aman dan baik untuk anda semua," titah Naruhito, di hadapan tetamu yang hadir di istana, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita Kyodo.
Berikutan pandemik COVID-19, kerabat diraja Jepun menangguhkan kebanyakan acara yang melibatkan istana.
Naruhito, 62, yang ditabalkan pada awal 2019, ditemani Maharani Masako dan kerabat diraja yang lain.
Puteri Aiko, anakanda tunggal pasangan diraja itu turut menyertai acara berkenaan buat kali pertama.
Kira-kira 9,600 tetamu terpilih untuk melawat istana sempena sambutan Tahun Baharu pada Isnin, menurut pihak istana.
Dalam perutusan tahun baharunya yang dikeluarkan sehari sebelumnya, Naruhito bertitah baginda berasa "amat dukacita menyaksikan korban yang ramai" akibat konflik di seluruh dunia.
"Beta amat merasakan kepentingan untuk sering mengadakan dialog bagi mengatasi perbezaan pendirian dan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa.
"Rakyat telah menghadapi banyak kesusahan akibat pandemik serta kenaikan harga komoditi dan tenaga," titah baginda.
-- BERNAMA
#Jepun #Maharaja Jepun #penampilan terbuka kali pertama #tahun baharu
;