Selepas tiga tahun, kepulangan Rizieq Shihab disambut ribuan penyokongnya
Khairunnisa Kasnoon
November 10, 2020 00:22 MYT
November 10, 2020 00:22 MYT
JAKARTA: Ribuan penyokong Rizieq Shihab berkumpul di perkarangan Lapangan Terbang Bandara Soekarno Hatta Indonesia bagi menyambut kepulangan pemimpin Front Pembela Islam (FPI) dari Arab Saudi.
Rizieq ditahan di Arab Saudi selama tiga tahun selepas didakwa atas kesalahan jenayah termasuk pornografi namun dakwaan itu digugurkan pihak berkuasa Indonesia.
Menurut pihak berkuasa, Rizieq meninggalkan Indonesia pada 2017 bagi menunaikan umrah tidak lama selepas polis mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan kes sembang pornografi dan mengihina ideologi Pancasila.
Bagaimanapun, tahun lalu, polis menggugurkan dakwaan itu atas alasan bukti yang tidak kukuh, namun pihak berkuasa Arab Saudi melarang beliau meninggalkan negara itu tanpa sebarang penjelasan.
Perhimpunan bagi menyambut kepulangan Rizieq itu melumpuhkan Jakarta selain menimbulkan kebimbangan wujudnya kluster baharu di provinsi tersebut.
Para penyokong berarak beramai-ramai sambil membawa sepanduk sebagai tanda penghormatan menyambut kepulangan pemimpin itu.
"Hari ini kami menyambut kepulangan pemimpin kami, Habib Rizieq Shihab. Hari ini amat luar biasa. Ia hebat dan sangat menggembirakan.
"Ini semua di luar jangkaan di mana kepulangan Habib Rizieq disambut jutaan orang", ujar salah seorang penyokong Rizieq, Hadi Alatas.