Selepas tiga dekad ditutup, musnah dalam perang, panggung wayang kini kembali beroperasi di Somalia

Agensi
September 24, 2021 18:40 MYT
Suasana di dalam panggung wayang di National Theatre, Mogadishu yang sekian lama dirindui warga tempatan. - Reuters
MOGADISHU: Berpuluh-puluh warga Somalia leka berswafoto dan berbual rancak di deretan kerusi berlapik merah yang gebu. Mereka teruja sewaktu menunggu tayangan filem pertama di negara itu dalam tempoh 30 tahun.
Antara yang hadir dalam khalayak di National Theatre itu ialah Kaif Jama yang berusia 24 tahun. Dia juga merupakan penulis dan bintang bagi dua filem dalam sesi tayangan itu – sebuah filem seram berjudul Hoos, dan sebuah lagi, naskhah komedi yang 'tidak berapa romantik' bertajuk Date From Hell.
"Semua ini ada makna tersendiri bagi setiap orang, termasuk saya. Ini adalah untuk semua warga Somalia yang mahu membikin filem,” ujar Jama, yang mengenakan persalinan tradisional Somali.
Wanita itu meninggalkan Somalia ketika dia berusia 6 tahun, dan telah berpindah ke Kenya dan Uganda, sebelum akhirnya menetap di kaherah, Mesir pada usia 19 tahun.
Sejak itu, dia telah menghasilkan 60 filem pendek dan sketsa komedi bersama pembikin filem Ibrahim CM.
Rakyat Somalia menghabiskan masa bertahun-tahun menonton filem dari India dan Arab di televisyen, kata Jama. “Tapi jika filem kita sendiri ditayangkan di panggung wayang dan televisyen, lama-kelamaan setiap warga Somalia dan anak-anak kecil akan dapat dibentuk beracuankan budaya mereka sendiri.”
National Theatre itu, yang merupakan hadiah daripada pemimpin China, Mao Zedong, mula membuka pintunya pada tahun 1967.
Ia menjadi 'rumah' yang penting bagi tradisi penceritaan Somalia yang kaya dengan budaya, termasuk pementasan teater, persembahan muzik dan festival filem Pan-Afrika sekitar tahun 1980-an.
Begitupun, selepas penggulingan Presiden Siad Barre pada 1991, pemimpin perang berasaskan puak telah bertempur sesama sendiri dan semuanya mahukan bangunan panggung wayang itu untuk dijadikan markas mereka. Dalam peperangan, struktur bangunan itu telah dibedil banyak kali hingga mengalami kerosakan teruk.
Kumpulan militan yang mendapat kuasa pada 2006 mengambil alih bangunan berkenaan, dan sejak itu mereka mengharamkan sebarang bentuk hiburan awam - dari konsert ke perlawanan bola sepak - dengan mendakwa semua itu adalah 'dosa'.
Pasukan pendamai Kesatuan Afrika kembali menguasai ibu negara itu pada tahun 2011, dan kerajaan baharu yang disokong Barat membuka semula venue itu pada tahun berikutnya.
Namun tiga minggu selepas itu, seorang pengebom bunuh diri dari kumpulan Al-Shabaab telah meledakkan tempat itu dan membunuh enam orang.
Akhirnya, pada tahun 2020, bangunan itu dibuka semula selepas melalui proses baik pulih.
Seorang penduduk Mogadishu, Hassan Abdulahi Mohamed, mengimbas ketika dia membelanjakan setengah Shilling Somalia untuk membeli tiket wayang dan 1 Shilling lagi untuk snek pada tahun 1960-an.
"Kali akhir saya menonton filem di panggung wayang adalah pada tahun 1991,” ujarnya.
#Somalia #panggung wayang #Mogadishu #penonton filem
;