Selepas teruk dikritik, ABC mohon maaf adegan pengganas Hindu dalam 'Quantico'
Astro Awani
Jun 9, 2018 18:07 MYT
Jun 9, 2018 18:07 MYT
Studio televisyen Amerika Syarikat (AS) ABC telah mengekuarkan permohonan maaf kepada peminat drama Quantico dari negara India, selepas salah satu episod memaparkan kumpulan nasionalis India cuba menyalahkan Pakistan atas insiden serangan keganasan.
Plot berkaitan aktiviti pengganas itu mencetuskan kemarahan terhadap aktres Bollywood, Priyanka Chopra, yang memainkan watak utama dalam siri itu.
“Episod itu telah menjentik pelbagai emosi, kebanyakannya secara tidak adil ditujukan kepada Priyanka Chopra, yang bukan penulis skrip mahupun pengarahnya,” ujar kenyataan ABC.
Chopra, 35, yang mula mencipta nama dalam dunia Bollywood India, disanjungi kerana kemampuannya memanjangkan kerjaya di Hollywood. Dalam siri Quantico, Chopra memegang watak sebagai ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang beralih menjadi ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Selepas episod kontroversi itu disiarkan, Priyanka berdepan dengan serangan dan kritikan dalam talian dari India, dengan sesetengahnya menyeru memboikot aktres itu dan semua produk yang diwakilinya.
Sementara itu, ada pihak yang mahu kerajaan India memadamkan adegan melibatkan watak Chopra menunjukkan seutas rantai manik Hindu sebagai bukti bahawa suspek yang mahu meledakkan bom di New York adalah seorang nasionalis India.
“Mitos pengganas Hindu, sebuah cerita palsu, memasuki televisyen Amerika, dengan ‘bantuan’ Priyanka Chopra. Adakah ada sebarang aktres yang mengkhianati Pakistan atau Islam, sama seperti dia mengkhianati India dan Hindu?” ujar seorang cendekiawan Hindu yang berpangkalan dari Amerika Syarikat, David Frawley.
ABC, dalam kenyataannya memberitahu, Chopra tiada kena-mengena dalam penghasilan jalan cerita siri itu.
"Rancangan itu memaparkan antagonis dari pelbagai etnik dan latar belakang, namun dalam kes ini kami sangat kecewa kerana ia sudah melibatkan isu politik rumit. Kami tidak bermaksud untuk mencetuskan kemarahan sesiapa,” kata ABC dalam kenyataan tersebut pada Jumaat.