Selepas taufan Toraji, Filipina diancam ribut tropika Usagi
Astro Awani
November 13, 2024 08:00 MYT
November 13, 2024 08:00 MYT
MANILA: Filipina mengeluarkan amaran cuaca baharu ketika ribut besar kelima dalam tiga minggu menghampiri kepulauan itu, hanya beberapa hari selepas ribuan penduduk dipindahkan kerana Taufan Toraji.
Toraji, yang kini lemah menjadi ribut tropika, bergerak ke laut dengan kerosakan terhad dan tiada kematian dilaporkan.
Menurut Agensi Cuaca Nasional, ribut tropika Usagi dijangka tiba di pantai timur laut negara itu dalam tempoh sehari lagi.
Kerajaan memindahkan lebih 32,000 orang dari kawasan berisiko di utara Filipina sebelum Taufan Toraji melanda pada Isnin, beberapa minggu selepas ribut tropika Trami, Taufan Yinxing dan Taufan Kong-rey yang mengorbankan keseluruhan 159 nyawa.
Sebahagian besar kematian berlaku semasa Trami yang membawa hujan lebat sehingga mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh.
Tiada banjir besar dilaporkan semasa Toraji melanda.
Ribut tropika Usagi, dengan kelajuan angin 75 kilometer sejam, dijangka menyebabkan ombak besar di pantai timur pada Rabu malam, sebelum mendarat Khamis ini, apabila ia diramal menjadi taufan.
Walaupun kerajaan melaporkan tiada korban daripada Toraji, kira-kira 15,000 orang masih berlindung di pusat pemindahan yang kebanyakannya dikendalikan kerajaan.
Selepas Usagi, perkhidmatan cuaca menjangkakan ribut tropika Man-yi, berhampiran kepulauan Mariana Utara, juga mengancam Filipina minggu depan.
Kira-kira 20 ribut dan taufan besar melanda Filipina dan perairan sekitarnya setiap tahun, membunuh puluhan nyawa dan mengheret jutaan penduduk ke dalam kancah kemiskinan.