Selepas singgung umat Islam, Fox News baru mohon maaf

AFP
Januari 19, 2015 13:18 MYT
Komen dibuat ketika berbicara mengenai insiden serangan maut oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Paris, Perancis beberapa minggu lalu. - Foto AFP
Saluran berita Fox News dari Amerika Syarikat memohon maaf berulang kali di atas ulasannya sebelum ini yang mendakwa bahawa perlu ada zon tanpa umat Islam sepenuhnya di Eropah.
Komen dibuat ketika berbicara mengenai insiden serangan maut oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Paris, Perancis beberapa minggu lalu.
Pengacara dan pengulas yang bersiaran ketika itu mencadangkan wujud kawasan-kawasan tertentu di Perancis dan Britain yang mengharamkan kehadiran bukan Islam selain pihak polis tidak akan pergi.
Penganalisis Keselamatan, Steven Emerson dalam rancangan yang disiarkan seminggu yang lalu itu berkata “bukan Islam tidak akan ke bandar Birmingham (bandar Britain yang dihuni ramai umat Islam)” ketika perbincangan mengenai topik kepelbagaian budaya.
Susulan kemarahan yang tercetus termasuk di laman sosial Twitter, Fox News terpaksa secara panjang lebar memohon maaf dalam beberapa siarannya pada Sabtu.
“Minggu lalu kami telah membuat kesilapan yang dikesali mengenai umat Islam di Eropah,” kata pengacara, Julie Bandera.
Dalam serangan di Paris awal bulan ini, 17 maut termasuk 12 dalam serangan di akhbar satira Charlie Hebdo oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang dikaitkan dengan kumpulan militan Islam.
Ketika insiden itu mendapat perhatian, laporan Fox News mengatakan umat Islam di Eropah sudah tidak terkawal, menjadikan mereka sasaran persendaan di media sosial dan pegawai awam Eropah.
Dalam reaksinya, Perdana Menteri Britain menggelar Emerson “bodoh”.
Meskipun melahirkan rasa kekesalan, Fox News turut menyertakan sekali kenyataan yang memberi amaran bahawa ada kawasan tertentu yang sememangnya tinggi kadar jenayah di Eropah seperti mana Amerika Syarikat dan negara lain di mana polis dan pengunjung dinasihatkan agar berhati-hati.
#Benjamin Netanyahu #Charlie Hebdo #Eiffel Tower #Fox News #Mahmud Abbas #militan #Paris #Perancis
;