Selepas SIA, Qantas pula perkenal penerbangan tanpa hala tuju
Agensi
September 19, 2020 13:21 MYT
September 19, 2020 13:21 MYT
Selepas Singapore Airlines (SIA), syarikat penerbangan Australia, Qantas, turut mengambil inisiatif memperkenalkan penerbangan tanpa hala tuju.
Berbeza dengan SIA, tempoh perjalanan Qantas lebih lama iaitu selama tujuh jam.
Ia ternyata mendapat sambutan yang sangat baik, terutama dalam kalangan mereka yang 'gian' untuk mengembara menaiki kapal terbang.
Sebanyak 196 keping tiket bagi tiga kelas penerbangan tersebut, yang bakal berlepas pada 10 Oktober ini, habis terjual dalam masa 10 minit.
"Ini mungkin tiket penerbangan paling laris dalam sejarah Qantas," kata CEO syarikat penerbangan itu, Alan Joyce, dalam satu kenyataan.
"Orang ramai rindu untuk kembali merasai pengalaman terbang dengan pesawat. Jika ada permintaan, kami akan pertimbangan untuk mengadakan lebih banyak penerbangan seumpama ini, sementara menunggu sempadan dibuka," tambah Joyce.
Penerbangan akan dilakukan menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner, yang biasanya digunakan untuk perjalanan antara benua.
Penerbangan akan merangkumi destinasi unik Australia di seluruh Queensland, Wilayah Utara dan New South Wales termasuk Great Barrier Reef, Uluru, Kata Tjuta, Teluk Byron dan Sydney Harbour yang ikonik.