Selepas pengharaman memburu ditarik balik, inilah paus pertama yang ditangkap nelayan Jepun
Agensi
Julai 2, 2019 20:36 MYT
Julai 2, 2019 20:36 MYT
Sebuah bot Jepun bersaiz kecil menangkap paus pertama pada Isnin, sempena musim pemburuan komersial pertama setelah lebih tiga dekad aktiviti itu dilarang.
Reuters melaporkan, langkah menarik balik larangan itu menerima kecaman daripada pelbagai pihak di peringkat antarabangsa, selain khuatir pada nasib spesies paus.
Sementara itu, Jepun mengekalkan pendiriannya bahawa hanya beberapa spesies paus yang terancam.
Negara itu pada Disember lalu mengumumkan untuk keluar dari Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa (IWC) untuk meneruskan tradisi berkenaan yang mendapat sokongan pemain industri dan juga Perdana Menteri Abe Shinzo.
"Jika kami mempunyai lebih banyak paus, kami akan makan lebih banyak. Ini tradisi dan budaya Jepun,” ujar seorang pemandu teksi di Kushiro, Sachiko Sakai, 66 tahun.
Kushiro merupakan bandar pelabuhan yang pulau Hokkaido, iaitu tempat pelepasan lima kapal pemburu paus ketika musim pemburuan bermula.
Tambahnya: “Dunia membantah pembunuhan paus, namun anda boleh katakan yang sama tentang haiwan di darat yang dibiak dan dibunuh demi makanan.”
Kapal-kapal tersebut, yang akan disertai kapal-kapal lain dri pelabuhan Shimonoseki di sebelah selatan, bakal menghabiskan musim panas untuk memburu paus Minke dan paus Baird.
Pada petang Isnin, sebuah kapal kembali dengan seekor paus Minke sepanjang 8 meter. Ia segera dibawa ke pelabuhan untuk ditimbang dan dilapah.
Difahamkan ada sebuah kapal lagi yang dapat menangkap seekor paus, namun belum ada maklumat lanjut mengenainya.
“Ini hari yang hebat, Saya sangat gembira dengan penarikan semula larangan memburu paus,” kata ketua Persatuan Pemburuan Paus Jepun, Yoshifumi Kai.
Jepun pernah menjalankan konsep 'pemburuan paus untuk penyelidikan saintifik' setahun selepas pengharaman pemburuan paus secara komersial pada tahun 1986.
Namun aktivis alam sekitar dan pemantau antarabangsa mendakwa alasan 'penyelidikan saintifik' itu sebagai samaran untuk meneruskan aktiviti berbutu tersebut demi memenuhi permintaan.
Menurut siasatan, daging paus yang digunakan untuk tujuan penyelidikan itu akhirnya tetap berakhir di kedai jualan dan di meja makan.
#aktivis alam sekitar
#aktivis haiwan
#hidupan marin
#Jepun
#kapal memburu paus
#kecaman antarabangsa
#larangan berburu
#minke
#paus
#tradisi jepun