'Selepas melihat CCTV, kita tidak keseorangan' - Polis di Australia rakam objek seperti 'UFO'
Asyraf Roslan
Februari 18, 2019 07:57 MYT
Februari 18, 2019 07:57 MYT
MENGEJUTKAN!
Itu merupakan reaksi yang boleh digambarkan apabila melihat satu rakaman yang agak tidak masuk akal yang telah dikongsikan oleh polis dari Broome, Australia.
Rakaman yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) tersebut menunjukkan satu objek seperti piring terbang atau Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO) yang muncul semasa petir sedang sambar menyambar.
Dalam video yang berdurasi 12 saat itu, objek pelik tersebut muncul di langit semasa ribut dan objek kelihatan seperti terapung di udara sebelum hilang.
Menurut pihak polis Broome, selepas mereka lihat berulang kali video tersebut, mereka membuat satu kesimpulan.
"Selepas mengkaji semula CCTV di pantai bandar pada petang semalam, nampaknya kita sebenarnya tidak bersendirian (di dunia)," kata suapan Twitter rasmi polis itu, diikuti dengan rentetan emoji UFO.
Namun, ada terdapat pengguna twitter yang mengatakan imej tersebut berpunca daripada refleksi lampu kereta yang sedang berundur.