Selepas Lubnan, Amerika akan tingkat usaha gencatan senjata di Palestin pula
Agensi
November 26, 2024 07:00 MYT
November 26, 2024 07:00 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menyifatkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah sebagai "berita baik."
Sehubungan itu, beliau berikrar melancarkan usaha baharu dalam beberapa hari mendatang untuk perjanjian sama dicapai antara Israel dan pasukan pejuang Hamas di Palestin pula.
Kata Biden, perjanjian gencatan senjata yang dicapai di Lubnan boleh menjadi pemangkin untuk mengakhiri peperangan di Gaza, sekali gus menamatkan pertempuran selama lebih 13 bulan.
“Rakyat Gaza juga berhak menamatkan pertempuran dan perpindahan. Rakyat Gaza telah melalui kesengsaraaan. Terlalu ramai orang awam di Gaza yang melalui penderitaan yang bukan sedikit,” kata Biden dalam ucapannya di Rose Garden, White House, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya itu, Presiden AS turut menyalahkan Hamas di atas kegagalan mencapai gencatan senjata di Gaza, sedangkan, sebilangan pemerhati berpendapat, pemimpin Israel khususnya Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, telah menghalang proses itu dengan menambah tuntutan yang mustahil semata-mata untuk memanjangkan hayat kerjaya politiknya yang rapuh.
Biden juga berkata, sekiranya gencatan senjata dicapai di Palestin, berkemungkinan Arab Saudi dan Israel juga boleh menormalkan hubungan dua hala mereka.
Dalam ucapannya itu juga, Presiden Biden menegaskan, Israel berhak untuk segera meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan sekiranya Hezbollah melanggar syarat perjanjian tersebut.
Beliau juga menyatakan, perjanjian antara Israel dan Hezbollah itu dirangka untuk memastikan pemberhentian permusuhan secara kekal. - Agensi