Selepas lebih 700 tahun, akhirnya Sang Nila Utama 'berdiri' di sebelah Stamford Raffles
Agensi
Januari 5, 2019 18:40 MYT
Januari 5, 2019 18:40 MYT
Empat arca patung baharu kini berdiri megah bersama patung Sir Stamford Raffles di pinggir Sungai Singapura, sebagai usaha pemerintah republik itu menghargai aspek kepelbagaian dalam fabrik sosial masyarakatnya.
Portal berita Channel NewsAsia melaporkan, patung Sang Nila Utama, Tan Tock Seng, Munshi Abdullah dan Naraina Pillai didedahkan kepada umum pada Jumaat sebagai tanda pengiktirafan komuniti pelbagai kaum yang telah membentuk Singapura selama ini, kata kenyataan daripada Singapore Bicentennial Office (SBO).
Menurut SBO, figura bersejarah itu disifatkan ‘mewakili watak-watak berbeza pada awal penubuhan Singapura pada tahun 1819 dan sebelumnya’.
Tahun ini adalah tahun ke-200 sejak Sir Stamford Raffles tiba di Singapura, yang menjadi detik penting dalam sejarah republik itu.
Dengan patung-patung baharu itu, menurut SBO, rakyat Singapura dipelawa untuk mengenali watak-watak penyumbang kepada pencapaian negara pulau itu sejak tahun 1299.
Sang Nila Utama dihikayatkan terserempak dengan seekor singa dengan tubuh merwarna kemerahan, kepala hitam dan berdada putih sewaktu mendarat di Temasek (nama lama Singapura) pada tahun 1299.
Selain putera dari Palembang itu, arca patung lain yang turut didirikan ialah tokoh pemimpin komuniti dari kaum Melayu, India dan Cina iaitu ahli bahasa Munshi Abdullah, ahli perniagaan Naraina Pillai, dan dermawan Tan Tock Seng.
Profesor Madya Hadijah Rahmat dari National Institute of Education, Nanyang Technological University berkata peranan, fungsi dan pencapaian Singapura adalah dalam banyak bidang bersifat pelbagai.
“Semua itu tidak dibina oleh seorang individu, namun dibangunkan oleh warga yang berbilang kaum, budaya dan agama yang memiliki latar belakang bervariasi.
#Munshi Abdullah
#naraina pillai
#sang nila utama
#Singapura
#sir stamford raffles
#tan tock seng
#Temasek