Selepas Jebi, kini giliran Taufan Trami pula membantai Jepun
Agensi
September 29, 2018 19:04 MYT
September 29, 2018 19:04 MYT
Selepas Taufan Jebi, kini giliran Taufan Trami pula terbentuk dan menghampiri Jepun.
Taufan yang diiringi hujan lebat dan angin kencang itu pada Sabtu dilihat mendekati selatan Negara Matahari Terbit itu, sekali gus memaksa banyak pembatalan jadual penerbangan dan menjejaskan bekalan kuasa di beberapa bandar.
Taufan Trami yang diletakkan dalam Kategori 2, adalah ancaman terkini yang bakal dihadapi rakyat Jepun selepas pelbagai cabaran lain sepanjang tahun ini termasuk cuaca panas ekstrem dan tanah runtuh.
Kepulauan sekitar Okinawa, iaitu kira-kira 1,000 kilometer (km) di barat daya Tokyo, telahpun mengalami hujan lebat dan ombak tinggi.
Selain itu, angin kencang menumbangkan pokok-pokok, menerbangkan lapisan luar bangunan dan mencederakan 9 orang. Tempias Trami juga menyebabkan bekalan kuasa terputus di lebih 30 buah bandar.
Saluran berita NHK juga melaporkan, lebih 380 penerbangan sudah dibatalkan, dengan majoritinya merupakan penerbangan keluar dan masuk ke Okinawa.
Kedudukan Trami kini adalah kira-kira 60km di utara bandar Naha, dengan membawa kelajuan angin sehingga 216km sejam.
Setelah melintas di utara Okinawa pada Sabtu, Trami diramal bergerak ke kepulauan Kyushu dan pulau utama Honshu pada Ahad.
Perkhidmatan kereta api laju antara Osaka dan Hiroshima juga akan dihentikan sementara pada pagi Ahad atas sebab-sebab keselamatan.