Selepas hilang lebih 40 tahun, lukisan 'Mona Lisa Nigeria' akhirnya dipamerkan
Agensi
November 7, 2018 21:24 MYT
November 7, 2018 21:24 MYT
Sebuah lukisan yang diberi jolokan ‘Mona Lisa Nigeria', yang telah hilang selama lebih 40 tahun, dan akhirnya ditemui di sebuah pangsapuri di London, kini dipamerkan di Nigeria buat kali pertama sejak kehilangannya.
Tutu, sebuah karya seni daripada seniman terkenal Nigeria, Ben Enwonwu, dihasilkan pada tahun 1974. Ia pernah dipamerkan dalam sebuah pameran seni di Lagos pada tahun berikutnya, dan sejak itu ia hilang hinggalah ia ditemui kembali empat dekad kemudian.
Pemilik lukisan itu, yang mahu dirahsiakan nama mereka, telah menghubungi pakar karya seni moden dan kontemporari Afrika, Giles Peppiatt, di agensi lelongan Bonhams di London, untuk mengenal pasti lukisan tersebut.
Peppiatt serta-merta mengenali dan mengesahkan hasil karya Enwonwu itu.
“Saya pada mulanya tidak tahu apa yang akan saya lihat. Tak disangka ia adalah lukisan hebat ini. Sangat tidak sangka saya melihat Tutu,” ujar Peppiat yang masih tidak dapat merungkai misteri lukisan itu berpindah milik.
Menurutnya, keluarga yang memilikinya sekadar menyatakan ia adalah warisan daripada bapa mereka, yang pernah mempunyai urusan perniagaan di Nigeria. Lukisan itu telah dibeli pada pertengahan atau penghujung tahun 70-an.
Keluarga tersebut kemudiannya menjual lukisan itu dan akhirnya mencapai harga lelong sehingga 1.2 juta Pound (RM6.55 juta) pada Februari lalu, sekali gus menjadikannya karya seni Nigeria termahal pernah dijual.
Tutu digelar ‘Mona Lisa Nigeria’ kerana kisah kehilangan dan penemuan semula, sama seperti lukisan tulen Mona Lisa yang pernah dilarikan pencuri, Vincenzo Peruggia, dari Louvre pada tahun 1911 dan ditemukan semula di Itali tiga tahun kemudian.
Tutu ialah potret Adetutu Ademiluyi, iaitu cucu pemerintah terdahulu Nigeria dari etnik Yoruba. Ia membawa perlambangan penting bagi Nigeria iaitu tentang simbol penyatuan negara itu selepas Perang Biafra pada 1967 hingga 1970.