Selepas dituduh Trump, China nafi jalankan urusan minyak dengan Korea Utara

Agensi
Disember 29, 2017 05:49 MYT
China nafi melanggar syarat sekatan terhadap Korea Utara, dengan menjalankan urusan dengan negara tersebut. - Reuters
China pada Jumaat menafikan laporan bahawa negara itu menjual produk minyak kepada Korea Utara dan melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seperti yang didakwa oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Beijing sudah menuruti syarat sekatan dengan sepenuhnya, yang bertujuan menghalang kerajaan Kim Jong Un daripada meneruskan penerokaan teknologi nuklear dan peluru berpandu, tegas jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying.
Pada Jumaat, Trump berang dengan tindakan China menjalankan transaksi tersebut dengan Korea Utara. Kenyataan Trump itu dipetik dari laman Twitter-nya yang menulis “Caught RED HANDED”.
Menurut Trump, janji yang dilontarkan Beijing berhubung sekatan ekonomi ke atas Pyongyang jelas palsu, selepas China didapati masih menjalankan urusan ekonomi melibatkan jual beli minyak dengan Korea Utara.
BACA: Beijing 'ditangkap' bersubahat dengan Pyongyang - Trump
Diplomat Majlis Keselamatan PBB berkata, China pada Khamis telah menyekat usaha AS dalam pertubuhan dunia itu untuk menyenarai hitam enam buah kapal dagang, yang Washington percayai digunakan untuk berurusan dengan Korea Utara.
“Selama ini saya berlembut dengan China kerana satu-satunya yang lebih penting bagi saya selain perdagangan adalah peperangan.
“Jika mereka membantu saya dengan Korea Utara, saya akan melihat hal perdagangan secara berbeza, untuk tempoh masa tertentu. Itulah yang sedang saya lakukan. Namun, apabila ia melibatkan minyak, saya tidak gembira,” ujar Trump.
#Amerika Syarikat #China #Donald Trump #ekonomi #Korea Utara #minyak #PBB #perdagangan #sekatan ekonomi
;