Selepas dinilai semula, sepatutnya isu Rakhine dapat ditangani dengan lebih baik - Suu Kyi

Agensi
September 13, 2018 10:27 MYT
SUU KYI: Dalam usaha mencapai tahap keselamatan dan kestabilan jangka panjang, kita perlu berlaku adil kepada semua pihak. - Reuters
Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi pada Khamis berkata, setelah penilaian dibuat berdasarkan keadaan yang berlaku sekarang ini di Rakhine, nescaya isu tersebut dapat ditangani dengan lebih baik.
Individu yang pernah digelar sebagai pejuang demokrasi Myanmar itu menyatakan demikian sempena persidangan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) ASEAN yang kini berlangsung di Hanoi.
Kira-kira 700,000 etnik Islam Rohingya lari meninggalkan Rakhine selepas pasukan keselamatan Myanmar melancarkan serangan besar-besaran di negeri Rakhine.
Tindakan yang dikritik komuniti dunia kerana mengorbankan banyak nyawa itu dilakukan dengan alasan membalas insiden serangan tentera Arakan Rohingya terhadap pos polis dan pangkalan tentera Myanmar pada Ogos 2017.
"Tentu sekali ada cara yang boleh dibuat, jika dilihat keadaan pada masa ini, situasi tersebut dapat ditangani dengan lebih baik.
"Namun kami percaya bahawa dalam usaha mencapai tahap keselamatan dan kestabilan jangka panjang, kita perlu berlaku adil kepada semua pihak. Kita tidak boleh memilih siapa yang perlu kita lindungi di bawah undang-undang," ujarnya.
#ASEAN #Aung San Suu Kyi #kemanusiaan #Myanmar #Rakhine #Rohingya #WEF
;