Selepas berbulan menghilangkan diri, Jack Ma dilapor 'muncul semula' di Hong Kong

Reuters
Oktober 13, 2021 11:35 MYT
Hartawan itu menghilangkan diri selepas mengkritik pengawalseliaan kewangan China yang didakwanya keterlaluan pada Oktober tahun lalu. -Gambar fail/Reuters
HONG KONG: Pengasas Kumpulan Alibaba, Jack Ma, dilapor membuat kemunculan semula di Hong Kong untuk bertemu rakan-rakan perniagaannya.
Hartawan itu menghilangkan diri selepas mengkritik pengawalseliaan kewangan China yang didakwanya keterlaluan di Shanghai pada Oktober tahun lalu, lapor Reuters.
Susulan tindakannya itu, beberapa siri tekanan dilakukan terhadap konglomeratnya, sekali gus memberi impak negatif terhadap tawaran awam permulaan (IPO) besar-besaran syarikatnya iaitu Ant Group.
Laporan yang memetik beberapa sumber itu menyebut, Ma telah berjumpa dan makan bersama beberapa rakan perniagaan pada minggu lepas.
Ma dipercayai memiliki sekurang-kurangnya satu rumah mewah di tanah bekas jajahan British itu yang turut menempatkan operasi perniagaan pesisir pantai syarikatnya.
Alibaba dan pesaingnya dikatakan telah menjadi sasaran pengawalseliaan kerajaan China berhubung tindakan monopoli serta pelanggaran hak pelanggan.
Syarikat itu telah dikenakan kompaun AS$2.75 bilion pada April lepas kerana pelanggaran monopoli.
Awal tahun ini, pengawal selia turut mengenakan penstrukturan besar-besaran terhadap Ant Group, dan menggagalkan nilai IPO sebanyak AS$30 bilion di Hong Kong dan Shanghai, yang sepatutnya menjadi tawaran terbesar di dunia.
#Jack Ma #Alibaba #kerajaan china #kemunculan semula
;