Selepas berbulan bersengketa, akhirnya Netanyahu pecat Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant
Agensi
November 5, 2024 07:00 MYT
November 5, 2024 07:00 MYT
JERUSALEM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memecat Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, selepas kedua-dua mereka tidak sependapat dalam banyak hal khususnya mengenai politik dalam negara dan peperangan Israel.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Netanyahu secara terbuka mengakui kepercayaan antara beliau dan Gallant telah retak.
Serentak itu, Israel Katz yang kini menyandang jawatan Menteri Luar dinamakan sebagai pengganti Gallant.
Sementara Gideon Sa’ar pula akan menggantikan Katz sebagai Menteri Luar, menurut pejabat Perdana Menteri.
Kedua-dua menteri berkenaan tidak memiliki pengalaman ketenteraan yang luas, walaupun Katz telah berkhidmat dalam Kabinet sepanjang tempoh perang.
Pemecatan Gallant berlaku semasa pengundi di Amerika Syarikat (AS) iaitu sekutu terpenting Israel sedang melaksanakan Pilihan Raya Presiden mereka.
Gallant dilihat mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan pentadbiran AS dan dikatakan berkomunikasi setiap hari dengan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin.
Rombakan ini juga berlaku ketika Israel menunggu kemungkinan serangan balas daripada Iran.
Dalam reaksi segeranya selepas dipecat daripada Kabinet, Gallant dalam hantaran di aplikasi X berkata “keselamatan Israel adalah dan akan sentiasa menjadi misi seumur hidup saya.”
Netanyahu pada Selasa memberitahu, beliau telah "mencuba banyak kali" untuk merapatkan perbezaan dengan Gallant, namun "jurangnya semakin melebar" dan "terdedah kepada umum dalam cara yang tidak dapat diterima."
Tambah Perdana Menteri Israel itu: “Lebih teruk lagi, hal ini diketahui oleh musuh kita - musuh kita menikmatinya dan mendapat manfaat besar daripadanya.”
Gallant dan Netanyahu, kedua-duanya dalam parti sayap kanan Likud diketahui telah bertelagah selama berbulan-bulan berhubung objektif perang 13 bulan Israel di Gaza menentang pasukan pejuang Palestin, Hamas.
Netanyahu juga berkata, Gallant telah membuat kenyataan yang "bercanggah dengan keputusan kerajaan dan keputusan Kabinet."
Sudah berbulan kedengaran spekulasi Netanyahu akan memecat Gallant dan menggantikannya dengan sekutu politik untuk mengukuhkan kuasa domestiknya.
Netanyahu menghadapi kesukaran dalam mengekalkan pegangannya terhadap gabungan pemerintahannya yang rapuh dan berhaluan kanan serta pelbagai kepentingan yang bersaing, yang jika runtuh, boleh mengakhiri kepimpinannya.
Apabila Netanyahu pertama kali cuba memecat Gallant tahun lepas berhubung penentangannya terhadap cadangan pembaharuan kehakiman, ia mencetuskan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara.
Beberapa minit selepas Netanyahu membuat pengumuman itu, pemimpin pembangkang menyeru rakyat Israel untuk turun ke jalanan untuk membantah.
Demonstrasi berlaku di Jerusalem dan Tel Aviv.
Penunjuk perasaan di luar kediaman Netanyahu di Jerusalem dan menjerit “malu!” manakala, di Tel Aviv, orang ramai menyekat lebuh raya utama manakala keluarga tebusan yang ditahan di Gaza melaungkan “Bibi adalah pengkhianat,” merujuk kepada nama panggilan Perdana Menteri itu.
Einav Zangauker, yang anaknya Matan masih di Gaza berkata, pemecatan Gallant “semasa perang dan pelantikan seorang yang hanya menurut kata, yang tidak berpengalaman dalam hal keselamatan, sebagai penggantinya, memberikan mesej yang jelas - tiada siapa yang akan menentang Netanyahu dan menghalangnya daripada menggagalkan perjanjian dan memanjangkan peperangan.”
Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid pula, menyifatkannya sebagai “tindakan gila.”
“Netanyahu menggadaikan keselamatan Israel dan askar IDF (Angkatan Pertahanan Israel) demi survival politiknya yang hina,” kata Lapid dalam hantaran di X pada Selasa. - Agensi