Selepas bebas dari penjara Bali, Renae Lawrence serah diri kepada polis Newcastle

Astro Awani
November 25, 2018 13:06 MYT
Renae Lawrence (tengah) dibebaskan dari penjara di Bali, Indonesia, 21 Nov, 2018. REUTERS
Warga Australia, Renae Lawrence, penyeludup dadah yang menjalani hukuman di Bali, Indonesia, telah menyerah diri kepada polis sehari selepas tiba di rumahnya di Newcastle, selepas 13 tahun meringkuk di dalam penjara.
Polis New South Wales (NSW) mengesahkan, wanita yang berusia 41 tahun itu hadir di Balai Polis Waratah di Newcastle pada Jumaat, berhubung kes saman tertunggak sejak tahun 2005.
Saman itu berkaitan dakwaan bahawa Lawrence, yang menaiki kereta curi ketika kejadian, telah terlibat dalam satu insiden kejar-mengejar dengan polis.
Dia kemudiannya dibenarkan bebas dengan ikat jamin oleh polis NSW dan dijangka hadir di Mahkamah Tempatan Newcastle pada 6 Disember.
Terdahulu, Lawrence yang ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Denpasar, Bali, pada 2005 bersama 2.7kg dadah jenis heroin, akhirnya pulang ke tanah air apabila dibebaskan pada Rabu.
Dia yang dahulunya anggota kumpulan Bali Nine, tiba di lapangan terbang Brisbane, bersama ibunya pada Khamis.
Lawrence merupakan satu-satunya suspek wanita daripada 9 warga Australia yang ditahan pada 2005 atas cubaan menyeludup 8.3 kilogram heroin dari Bali ke Australia.
Enggan mengulas lanjut, Lawrence hanya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Indonesia sebaik dibebaskan.
#Australia #Bali #Dadah #Indonesia #kerajaan #penjara #Renae Lawrence #suspek #wanita
;