Selepas banjir, ancaman labah-labah paling berbisa resahkan warga Sydney
Agensi
Mac 25, 2021 09:00 MYT
Mac 25, 2021 09:00 MYT
SYDNEY: Ancaman spesies labah-labah paling berbisa di dunia kini menghantui penduduk di Sydney selepas kawasan mereka sebelum ini dilanda hujan lebat dan banjir.
Media tempatan yang memetik amaran Australian Reptile Park (Taman Reptilia Australia) pada Rabu, berkata arachnid yang boleh membawa maut itu kini dikhuatiri menjadikan kediaman manusia sebagai 'tempat tinggal' baharu selepas habitatnya ditenggelami air.
Cuaca buruk yang membawa hujan lebat kebelakangan ini telah mengakibatkan banjir di negeri New South Wales, dengan beberapa bahagian pinggir kota di timur laut Sydney masih digenangi air bah.
Penduduk kawasan terjejas yang baru saja menarik sedikit nafas lega kerana menerima pancaran matahari pada Rabu, digemparkan pula dengan 'amaran terkini' berkenaan kehadiran labah-labah funnel-web, yang merupakan spesies endemik di Sydney.
"Kedatangan cuaca yang lebih hangat dan berkelembapan tinggi merupakan pilihan sempurna untuk labah-labah ini berhijrah dalam jumlah yang banyak.
"Dengan keadaan banjir teruk yang melanda kawasan Greater Sydney, labah-labah itu terpaksa meninggalkan habitat asalnya untuk mencari tempat perlindungan di tempat yang lebih kering.
"Malang sekali, ini bermakna labah-labah itu sedang mencari tempat baharu untuk tinggal, iaitu di rumah-rumah penduduk setempat," kata pengarah taman itu, Tim Faulkner dalam satu kenyataan.
Gambar ribuan labah-labah yang muncul dari kawasan yang dilanda banjir dan memanjat pagar kediaman penduduk sudah mula tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, sekali gus menggemparkan golongan yang fobia pada haiwan itu.
Labah-labah funnel-web memang sangat ditakuti kerana memiliki bisa yang amat toksik dan mampu bertindak pantas, dengan 13 orang pernah direkodkan maut hanya kerana gigitannya.
Bagaimanapun, dipercayai tiada mangsa yang terkorban sejak satu program antibisa diperkenalkan pada awal 1980-an.
Australian Reptile Park, yang membekalkan dos antibisa, menggalakkan mereka yang 'yakin selamat untuk menangkap' labah-labah itu, supaya menghantar haiwan itu ke pusat pengumpulannya.
#labah-labah
#labah-labah berbisa
#ancaman maut
#Australian Reptile Park
#Taman Reptilia Australia
#selepas banjir
#habitat ditenggelami air
#Greater Sydney
#antibisa
#funnel-web