Selepas Arab Saudi, belalang juta dijangka 'serang' Afrika Timur pula
Agensi
Januari 26, 2021 18:59 MYT
Januari 26, 2021 18:59 MYT
KAWASAN Afrika Timur dijangka berdepan ancaman belalang juta yang lebih teruk selepas kawanan serangga itu ketika ini menjejaskan Arab Saudi.
Amaran itu dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada Ahad lalu, memaklumkan kawasan Ethiopia dan Kenya diramal menjadi sasaran seterusnya.
Jelas FAO, keadaan cuaca kering di wilayah Afrika Timur akan memudahkan serangan kawanan belalang juta yang dijangka terbesar di Kenya.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 15 daripada 47 daerah di Kenya telah terkesan.
“Memandangkan beberapa kawasan masih kering, belalang juta dijangka merebak ke seluruh selatan dan utara Ethiopia termasuk utara tengah Kenya
“Setiap kali hujan pada minggu depan akan menyebabkan belalang juta menjadi matang dan telurnya akan menetas, sekali gus meningkat jumlah serangga itu pada Februari dan Mac,” demikian menurut FAO.
Memetik laporan antarabangsa, kawanan belalang juta atau nama saintifiknya Schistocerca gregaria melanda kawasan di sepanjang pantai dari Jizan ke Al Lith sebelum merebak ke Duba di pantai utara Arab Saudi.
Dalam perkembangan sama, Menteri Pertanian Kenya, Peter Munya berkata negara itu telah bersiap sedia untuk menghadapi serangan kedua belalang juta.
"Negara (Afrika Timur) berada di bawah serangan kedua belalang gurun yang masuk dari Ethiopia dan Somalia. Sehingga kini, 15 daerah telah melaporkan serangan belalang gurun.
“Kenya telah mengerahkan sembilan pesawat untuk operasi pengawasan udara, manakala 21 kenderaan yang dipasang dengan penyembur bagi operasi darat. Tiga lagi pesawat dalam keadaan siap sedia,” ujarnya.
Kawanan belalang, yang menimbulkan ancaman besar terhadap keselamatan makanan telah merosakkan ratusan ribu hektar tanah pertanian di wilayah itu tahun lalu.
#Arab Saudi
#Kenya
#belalang juta
#Serangan belalang juta
#Pertanian rosak
#Afrika timur diserang belalang juta