Selepas anak meninggal dunia, Sinead O'Connor dimasukkan ke hospital
Agensi
Januari 17, 2022 12:30 MYT
Januari 17, 2022 12:30 MYT
PENYANYI dan penulis lirik, Sinead O’Connor dimasukkan ke hospital seminggu selepas anak lelakinya meninggal dunia akibat membunuh diri.
Anak kelahiran Ireland yang berusia 55 tahun itu mengakui amat sedih dengan kematian anak lelakinya, Shane, 17 dan turut menyatakan hasrat menerusi Twitter untuk ‘mengikuti jejak’ anaknya.
Sinead kemudian menambah: “Saya minta maaf. Saya tidak patut kata begitu. Saya ada bersama dengan polis dalam perjalanan ke hospital. Saya minta maaf kerana kecewakan semua orang.”
Minggu lalu, dia memaklumkan bahawa anaknya Shane telah hilang ketika dalam jagaan sebuah agensi keluarga dan kanak-kanak Ireland, Tusla.
Sebelum menghilangkan diri, anaknya itu telah diletakkan dalam pemerhatian cubaan membunuh diri di Hopital Tallght.
Malah, Sinead turut berjanji untuk berhubung pihak berkuasa demi keselamatan Shane.
Pada 7 Januari, Sinead mengesahkan bahawa Shane telah membunuh diri.
“Anak lelaki saya, Nevi’im Nesta Ali Shane O’Connor, cahaya hidup saya, telah memutuskan untuk menamatkan perjuangan hidup di dunia ini dan kini bersama Tuhan,” katanya di Twitter.
“Semoga dia tenang dan harapnya tiada siapa yang mengikut langkah ini. Anakku, ibu amat sayangkan kamu. Semoga tenang di sana,” luahnya.
Sinead yang turut dikenali dengan nama Islamnya Shuhada turut berkongsi pautan lagu Bob Marley, ‘Ride Natty Ride’ disusuli kapsyen: “Kita akan terus bersama. Tiada sempadan yang boleh memisahkan kita.”