Selepas 7 tahun, Iran buka semula konsulat jeneral dan pejabat perwakilan OIC di Arab Saudi

Bernama
Jun 8, 2023 13:24 MYT
Pejabat perwakilan Iran itu memulakan operasinya pada 2022 berikutan beberapa pusingan rundingan antara Tehran dan Riyadh. - Reuters
TEHRAN: Iran secara rasmi membuka semula pejabat konsulat jeneral dan perwakilan ke Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi selepas tujuh tahun ditutup, menurut kenyataan Kementerian Luar Iran yang disiarkan di laman sesawangnya pada Khamis.
Majlis pembukaan semula itu diadakan pada petang Rabu dan dihadiri Timbalan Menteri Luar Iran Alireza Bigdeli, penjaga Kedutaan Iran di Riyadh Hassan Zarnegar, Ketua Pertubuhan Haji dan Ziarah Iran Abbas Hosseini dan Ketua Pejabat Kementerian Luar Arab Saudi di Jeddah Mazen bin Hamad al-Hamoudi, lapor Xinhua.
Pejabat perwakilan Iran itu memulakan operasinya pada 2022 berikutan beberapa pusingan rundingan antara Tehran dan Riyadh mengenai normalisasi hubungan yang dihoskan oleh Baghdad.
Sementara konsulat jeneral memulakan operasinya pada awal tahun ini bagi memudahkan jemaah haji warga Iran.
Pada Selasa, Iran membuka semula kedutaannya di Riyadh hampir tiga bulan selepas kedua-dua negara bersetuju memulihkan hubungan dua hala di bawah perjanjian yang diuruskan oleh China.
Arab Saudi dan Iran mencapai kesepakatan dalam satu rundingan yang diadakan di Beijing pada Mac untuk menyambung semula hubungan diplomatik dan membuka semula kedutaan dan misi mereka.
Kedua-dua negara pada April mengumumkan menyambung semula hubungan diplomatik berkuat kuasa serta-merta.
Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada 2016 sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas misi diplomatik Arab Saudi di Iran selepas kerajaan itu menghukum mati seorang ulama Syiah.
-- BERNAMA
#Iran #konsulat jeneral #pejabat perwakilan #oic #Arab Saudi