Selepas 62 tahun, identiti kanak-kanak mangsa culik dan bunuh akhirnya dikenal pasti
Agensi
Mac 16, 2022 14:51 MYT
Mac 16, 2022 14:51 MYT
ARIZONA: Selepas lebih enam dekad, identiti kanak-kanak yang hilang dikenali sebagai "Little Miss Nobody" akhirnya dikenal pasti.
Pejabat Syerif Daerah Yavapai, Arizona, memaklumkan pada Selasa bahawa teknologi DNA telah berjaya mengenal pasti kanak-kanak tersebut sebagai Sharon Lee Gallegos.
"Pada tahun 1960, orang ramai tidak tahu pun yang DNA akan menjadi satu bentuk teknologi penting. Tiada nama pun untuk DNA. Ia tidak wujud.
"Tetapi entah kenapa, pasukan penyiasat ketika itu mengambil langkah mendokumenkan dan tidak memusnahkan semua bahan bukti, yang memungkinkan kita sampai ke tahap ini," kata Sheriff, David Rhodes.
Anak saudara Gallegos, Ray Chavez, menghadiri sidang akhbar itu untuk berkongsi bagaimana kisah kehilangan ibu saudaranya itu memberi kesan besar kepada mereka sekeluarga.
"Kami dikenali sebagai 'keluarga yang kehilangan anak kecil mereka'. Saya sangat berterima kasih kepada pasukan penyiasat yang tidak berhenti dan tidak berputus asa.
"Akhirnya kami menemui penutup yang memberi kami ketenangan," kata Chavez seperti dipetik ABC News.
Gallegos didakwa diculik pada 21 Julai 1960, ketika bermain dengan dua rakannya di lorong di belakang rumah neneknya di Alamogordo, New Mexico. Ketika itu, dia berusia 4 tahun.
Polis dan FBI gagal mengesan Gallegos dan siapa yang bertanggungjawab menculiknya.
Sepuluh hari kemudian, satu mayat ditemui di kawasan padang pasir di Arizona oleh orang awam, kata pihak berkuasa.
Penyiasat mengesyaki mayat yang ditemui itu mungkin Gallegos. Namun, ketiadaan teknologi menggagalkan usaha pihak berkuasa untuk mengenal pasti mayat.