Selepas 50 tahun, ASEAN perlu jadi lebih manusiawi

Shafizan Johari
Ogos 7, 2017 07:41 MYT
Hakikatnya, ASEAN belum lagi berupaya capai kata sepakat dalam soal krisis kemanusiaan serantau, terutamanya yang paling mendesak, isu kemanusiaan Rohingya. - Gambar fail
Sebagai sebuah blok serantau, ASEAN boleh berbangga dengan pencapaiannya sejak penubuhannya yang genap 50 tahun hari ini.
Bermula dengan hanya lima negara berjiran, ASEAN dengan 10 negara anggota kini kukuh sebagai sebuah blok serantau yang mempunyai kerjasama politik dan integrasi ekonomi yang lebih bersepadu sementara hubungan antara rakyat juga semakin erat.
Begitupun kerjasama ini berlandaskan kesejahteraan dan kemakmuran bersama, hakikatnya, ASEAN belum lagi berupaya mencapai kata sepakat dalam soal krisis kemanusiaan serantau.
Perkara utama yang paling mendesak, isu kemanusiaan Rohingya.
Perkara ini dipersetujui oleh Pengasas RIGHTS Foundation, Yusmadi Yusof.
Beliau yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Kaukus Inter Parliamentarians Asean Mengenai Myanmar yang kini dikenali sebagai ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) berpendapat, selepas lima dekad, ASEAN seharusnya fokus ke arah menjadikan pertubuhanan ini lebih manusiawi.
“Mana mungkin pada satu sudut kita mempromosikan Zon Bebas ASEAN sementara di sudut lain isu kemanusiaan tidak dihormati.
"Mekanisme yang kita ada kini sebenarnya sudah cukup untuk kita bergerak ke hadapan, cuma APHR perlu ditambah dari segi sumbernya.
"Contohnya, ia memerlukan repertoire yang lebih ramai untuk menyediakan laporan yang lebih objektif,” tambah Yusmadi.
Statistik terbaru mendedahkan warga Myanmar merekod jumlah pelarian dan pemohon suaka tertinggi di Malaysia dengan 133,725 atau 8% daripada keseluruhan jumlah pelarian dan pemohon suaka yang masuk ke negara ini.
“Ketika kita bercakap mengenai ASEAN yang baru, kita melihat kes-kes kemanusiaan di Marawi, Selatan Thailand dan isu yang masih berlarutan di Rakhine, Myanmar, serta isu perdagangan manusia dan ekstremisme yang semakin merisaukan.
"Bayangkan perkara ini semua jika tidak ditangani dengan berkesan, ia akan membunuh segala agenda pembangunan yang membentuk ASEAN,” tegas Yusmadi.
Beliau juga mencadangkan badan bukan kerajaan diberi kepercayaan untuk ke hadapan dalam menangani isu kemanusiaan dan tidak hanya bergantung kepada keupayaan kerajaan untuk menguruskannya.
“Kita tidak perlu mengadakan kumpulan tentera pengaman seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi cukuplah dengan kumpulan yang lebih teratur seperti bantuan kemanusiaan untuk isu bencana alam dan sebagainya,” jelas Yusmadi.
#agenda #ASEAN #Badan Bukan Kerajaan #bantuan kemanusiaan #ekonomi #kerajaan #Malaysia #Myanmar #pelarian #politik #Rakhine #rakyat #Rohingya #tentera #Thailand
;