Selepas 25 tahun, sembilan mangsa pembunuhan Srebrenica dikebumikan semula
Astro Awani
Julai 10, 2020 07:00 MYT
Julai 10, 2020 07:00 MYT
HARI ini menandakan 25 tahun sejak pembunuhan beramai-ramai di bandar Srebrenica di timur Bosnia.
Setiap tahun, lebih banyak jenazah ditemui dan dikebumikan semula.
Pada setiap ulang tahun, mereka yang terselamat daripada tragedi hitam itu akan kembali ke tanah perkuburan untuk mengingati ayah, suami, anak lelaki dan saudara lelaki mereka yang terbunuh.
Lebih 8,000 lelaki dan remaja lelaki yang kebanyakannya umat Islam diburu melalui hutan di sekitar Srebrenica oleh tentera Serbia.
Tragedi pada 1992 ini dianggap pembunuhan orang awam terburuk di Eropah sejak perang dunia kedua.
Pada Sabtu, sembilan mangsa pembunuhan yang dikenal pasti akan dikebumikan di tanah perkuburan peringatan di Potocari.
Antara mereka ialah Bajro Salihovic yang mayatnya digali dari kubur besar dan ditemui pada November lalu setelah dikenal pasti melalui ujian DNA.
Anaknya, Bahrudin Salihovic berkata jenazah ayahnya ditemui ketika ulang tahun ke 25 tragedi hitam itu.
“Kepada keluarga, penemuan ini dan sangat bermakna.
"Jenazahnya tidak lengkap, tetapi saya dan ibu memutuskan untuk menguburkan bahagiannya yang ditemui bagi mengetahui di mana kuburnya dan mengetahui ke mana harus pergi untuk mendoakannya serta mencari ketenangan setelah terselamat dari pembunuhan beramai-ramai," ujarnya.
Isteri kepada Bajro, Hajrija Salihovic berkata dia kini berasa lega apabila mengetahui di mana sekurang-kurangnya tulang suaminya berada.
"Ini sangat bermakna untuk memiliki sedikit tulang-tulangnya kerana selama bertahun-tahun (sejak pembunuhan beramai-ramai itu) kita tidak pasti (mengenai nasibnya).
"Kami tidak tahu di mana dia berada. Apa yang harus kami lakukan sekarang, saya tidak tahu.
"Tulang-tulangnya tidak memberitahu bagaimana dia menemui ajalnya, adakah dia menderita," jelasnya.
Apa yang berlaku di Srebrenica adalah sesuatu yang memalukan bagi masyarakat antarabangsa kerana bandar itu telah diisytiharkan sebagai kawasan perlindungan PBB bagi orang awam pada tahun 1993.
Ketika tentera Serbia bergerak masuk sekitar 15,000 lelaki Muslim Bosnia melarikan diri ke hutan.
Penduduk yang ketakutan melarikan diri ke pekarangan PBB di bekas zon perindustrian di pintu masuk bandar dengan harapan pasukan pengaman PBB Belanda melindungi mereka.
Namun pasukan pengaman PBB yang bersenjata tidak berdaya ketika tentera Serbia membawa sekitar 2,000 lelaki dan remaja lelaki dari kawasan selamat PBB untuk dibunuh.
Pada masa yang sama, wanita dan gadis juga menjadi mangsa rogol ketika itu.
Sementara itu, di hutan sekitar Srebrenica, tentera Serbia memburu masyarakat Bosnia yang melarikan diri.
Bahrudin Salihovic adalah antara mereka yang telah dikejar melalui hutan yang bergema dengan suara senjata dan jeritan menyakitkan lelaki yang maut dibunuh.
Dia sempat melarikan diri, tetapi bapanya tidak.
"Hari-hari ini menjelang 11 Julai, saya sedang berfikir tentang 25 tahun untuk bahagian hati saya yang telah direntap, dibunuh (dalam pembunuhan beramai-ramai).
"Ini sangat bermakna bagi saya bahawa (ayah saya) ditemui, saya bersyukur kepada Tuhan untuk itu," ujarnya.
Pihak yang bertanggungjawab berusaha menyembunyikan bukti pembunuhan beramai-ramai itu dengan menggunakan jentolak menolak mayat-mayat di dalam sebuah kubur besar yang digali.
Selepas bertahun, kubur itu digali untuk mengenal pasti mangsa melalui ujian DNA dan kira-kira lebih 1,000 mangsa masih belum ditemui.
Tribunal Jenayah Perang Khas PBB dan mahkamah di Balkan menjatuhkan hukuman kepada hampir 50 individu Serbia Bosnia termasuk pemimpin utama perang mereka, Radovan Karadzic dan komander tenteranya, Ratko Mladic penjara lebih 700 tahun kerana jenayah Srebrenica.
#Bajro Salihovic
#Belanda
#Bosnia
#DNA
#PBB
#pembunuhan beramai-ramai
#Radovan Karadzic
#Ratko Mladic
#Srebrenica
#tragedi hitam