Selepas 15 tahun, ratusan mangsa tsunami Thailand masih belum dikenal pasti

Agensi
Disember 16, 2019 20:58 MYT
Di Thailand sahaja, tsunami tahun 2004 menyebabkab kematian lebih daripada 5,000 orang.
Lima belas tahun selepas tragedi tsunami Lautan Hindi yang mengorbankan lebih daripada 230,000 orang pada 26 Disember 2004, sebuah kargo di balai polis di selatan Thailand masih menyimpan saki-baki barangan mangsa yang belum dikenal pasti.
Tersimpan rapi di dalam kargo itu adalah barangan peribadi – dompet, dokumen, elektronik dan banyak lagi yang dibungkus dan dilabel sebagai bukti.
Reuters melaporkan, pihak polis berharap suatu hari nanti semua itu akan dapat diketahui pemiliknya, seterusnya akan membolehkan nama sebenar mangsa ditandakan di tempat pengebumian. Sekarang ini, tanda di kuburan itu hanyalah nombor.
"Masih banyak waris dan saudara-mara mangsa, sama ada jauh dan dekat, berharap untuk menemui orang kesayangan mereka yang hilang,” ujar Timbalan Komander Polis daerah Takua Pa, Kolonel Khemmarin Hassini.
Kejadian tsunami itu tercetus daripada gempa bumi berkekuatan 9.1 magnitud. Ia telah membunuh lebih daripada 230,000 orang dan membawa gelombang setinggi 17.4 meter yang menghempas pesisiran pantai puluhan negara.
Dalam beberapa saat, badai besar itu melenyapkan seluruh penduduk dan komuniti.
Di Thailand, yang mencatatkan kematian lebih daripada 5,000 orang, unit khas Identifikasi Mangsa Bencana (DVI) bersama polis dan pakar forensik dari 30 buah negara telah berjaya mengenal pasti lebih 3,600 orang dalam masa dua tahun.
Ia adalah suatu projek terbesar dan paling berjaya seumpamanya.
Kolonel Khemmarin adalah sebahagian daripada pasukan antarabangsa itu, namun menurutnya, banyak saluran komunikasi yang ditutup selepas 15 tahun, selain petunjuk yang semakin lenyap.
"Jika kita bersemangat untuk mengaktifkan semula operasi ini, saya rasa sebahagian daripada 340 mayat yang masih yang tidak bernama itu boleh dikenal pasti," katanya.
Hin Temna, 76, yang tinggal di perkampungan Ban Nam Khem, pasrah dengan tujuh ahli keluarganya yang terkorban, manakala anak perempuan sulungnya tidak dijumpai sehingga kini. Mereka adalah antara lebih daripada 1,500 orang kampung yang terkorban sewaktu tsunami itu melanda.
“Tidak perlu untuk berharap (untuk menemui anak perempuan saya). Saya tidak rasa begitu,” katanya.
#gempa bumi #mayat mangsa #takua pa #Thailand #tsunami #tsunami 2004 #waris mangsa
;