Selepas 13 tahun, Korea Selatan, negara Arab sambung semula rundingan FTA

Bernama
Mac 27, 2022 07:50 MYT
Rantau Teluk adalah pasaran penting bagi Korea Selatan berdasarkan potensi jumlah penduduk, pendapatan dan pertumbuhannya. - Gambar hiasan
SEOUL: Korea Selatan dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dijadual menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada Isnin yang tertangguh sejak 13 tahun lalu.
Rundingan selama empat hari itu demi mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dua hala, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.
GCC melibatkan enam negara: Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Arab Saudi, Oman, Qatar dan Kuwait.
Korea Selatan dan GCC bersetuju meneruskan usaha ke arah perjanjian perdagangan pada 2007 dan mengadakan rundingan lanjut pada 2008 dan 2009 tetapi terhenti selepas majlis mengumumkan penggantungan pada 2010, lapor agensi berita Yonhap.
"Rantau Teluk adalah pasaran penting bagi Korea Selatan berdasarkan potensi jumlah penduduk, pendapatan dan pertumbuhannya.
"FTA dengan negara-negara GCC yang kaya dengan sumber bukan sahaja memberi peluang meningkatkan dagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi secara keseluruhan tetapi membantu memastikan rantaian bekalan kami stabil," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Jumlah dagangan antara kedua-dua pihak mencecah US$46.6 bilion pada 2020, menurut data kerajaan.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #Majlis Kerjasama Teluk #FTA #rundingan
;