Selepas 13 tahun hilang, cincin tunang dijumpai 'tersekat' pada lobak
Kohilah Sekaran
Ogos 17, 2017 11:48 MYT
Ogos 17, 2017 11:48 MYT
PADA tahun 2004, Mary Grams hilang cincin tunangnya ketika bercucuk tanam di ladang miliknya di Alberta.
Pada ketika itu, dia telah memakai cincin tersebut lebih setengah abad iaitu sejak suaminya Norman memberikan kepadanya pada tahun 1951.
Mary cuba mencari cincinnya itu selama beberapa hari, namun gagal menjumpainya.
Bimbang dimarahi suami, kejadian itu telah dirahsiakan daripadanya.
Namun, rahsia itu terbongkar jua 13 tahun kemudian selepas menantu Mary, Colleen Daley, menjumpai cincin bertatah berlian itu ketika mencabut pokok lobak yang ditanam di ladang mereka.
Cincin itu dilihat 'tersekat' pada sebiji lobak merah.
"Saya tahu ia pasti milik nenek atau ibu mertua saya kerana tiada wanita lain yang tinggal di ladang itu.
"Saya bertanya kepada suami saya jika dia mengenali cincin itu, dan dia kata 'ya'.
"Dia kata ibunya telah kehilangan cincin tunang itu bertahun lalu dan tidak pernah menjumpainya," kata Colleen kepada media.
Mary akhirnya membeli cincin baharu yang hampir serupa sebagai ganti supaya suaminya tidak sedar akan kehilangan itu.
Walaupun Mary gembira cincin tunangnya dijumpai semula, namun dia sedih kerana tidak dapat memberitahu kisah sebenar kepada suaminya.
Menurut Mary, suaminya meninggal dunia lima tahun lalu.