Selebriti terkenal India ucap tahniah atas kejayaan misi Chandrayaan-3
Astro Awani
Ogos 23, 2023 05:45 MYT
Ogos 23, 2023 05:45 MYT
MUMBAI: Susulan kejayaan kapal angkasa milik India menjadi negara pertama mendaratkan kapal angkasa di kutub selatan bulan semalam, sebilangan besar selebriti dari India mengucapkan tahniah.
Antara nama besar yang menciap ucapan tahniah di X antaranya pelakon terkenal Shah Rukh Khan, Hrithik Roshan, Akshay Kumar dan ramai lagi mengambil peluang menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan misi Chandrayaan-3.
“Tahniah kepada semua saintis dan jurutera, seluruh pasukan yang telah membanggakan India. Chandrayaan-3 telah berjaya mendarat lancar di bulan,” tulis aktor Shah Rukh Khan di platform X pada Rabu.
Dalam masa sama, aktor Akshay Kumar, yang pernah memegang watak saintis Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) dalam filem 'Mission Mangal', menulis, "Jutaan TERIMA KASIH @isro. Anda telah menjadikan kami begitu bangga. Bertuah kerana dapat menyaksikan India menulis sejarah. India berada di bulan, kita berada di atas bulan,” ciap beliau.
Aktor Hrithik Roshan pula menciap beliau bangga menyaksikan rakyat India terbang tinggi dan memberikan yang terbaik.
“Tahniah dan rasa hormat saya kepada @isro & para genius di sebalik misi penerokaan lunar #Chandrayaan3,” katanya.
Aktor Abhishek Bachchan menulis, "Tahniah yang besar kepada @isro atas pendaratan berjaya #Chandrayaan3. Satu saat untuk diingati, satu emosi yang tak terungkapkan!!"
Misi ke bulan Chandrayaan-3 telah dilancarkan pada 14 Julai.
Modul pendaratnya terpisah daripada sistem pendorongan beberapa hari dan pendaratan lancar atau terkawal, bermula pada Rabu malam.
Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi turut mengucapkan tahniah kepada agensi angkasa lepas dan saintis di atas pencapaian itu, sambil berkata seluruh negara sedang meraikan detik bersejarah berkenaan.