Selamatkan Palestin: Majlis Keselamatan PBB perlu ambil langkah drastik
Astro Awani
Mei 16, 2021 07:08 MYT
Mei 16, 2021 07:08 MYT
MENTERI LUAR Palestin, Riyad al-Maliki menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah segera dalam menghentikan serangan Israel ke atas Gaza.
Ia disuarakan dalam satu mesyuarat PBB secara maya selepas serangan terbaharu Israel yang meruntuhkan tiga bangunan dan mengorbankan 42 mangsa.
Soalnya, berapa ramai jumlah mangsa korban yang diperlukan untuk tindakan segera diambil?
"Berapa ramai jumlah mangsa Palestin yang terbunuh untuk tindakan kecaman diambil? Kita tahu langkah sama akan diambil apabila seorang mangsa Israel terkorban.
"Tetapi berapa ramai rakyat Palestin sebelum tindakan diambil? Ketika ini 200 rakyat Palestin telah terkorban. Satu pertiga daripada mereka adalah kanak-kanak dan wanita," katanya.
Justeru itu, al-Maliki mencabar badan keselamatan itu untuk mengambil langkah drastik.
Pada Ahad, pemimpin-pemimpin PBB menggesa agar konflik tersebut dihentikan, dan melakukan rundingan antara dua pihak.
Senada dengan perkara tersebut adalah duta dari India, T.S Tirumurti yang turut menjelaskan tanpa rundingan yang baik konflik ini akan berlarutan.
Duta Amerika Syarikat pula memaklumkan, Presiden Joe Biden sudah berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Setakat ini, 188 warga Palestin maut termasuk 55 kanak-kanak dan 33 wanita.