Sekurang-kurangya 8 maut, 5 hilang bangunan runtuh di Brazil

Astro Awani
Julai 8, 2023 04:03 MYT
Mayat lelaki, wanita, serta kanak-kanak berusia 8 dan 5 tahun antara mangsa yang dijumpai di bawah runtuhan. -Reuters
BRASILIA: Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala lima lagi hilang, termasuk kanak-kanak selepas sebuah bangunan di bandar Recife, Brazil runtuh pada Jumaat, lapor AlJazeera memetik Jabatan Pertahanan Awam dan Bomba.
Mayat lelaki, wanita, serta kanak-kanak berusia 8 dan 5 tahun antara mangsa yang dijumpai di bawah runtuhan.
Dua lagi mangsa, masing-masing wanita berusia 65 tahun dan remaja 15 tahun, berjaya diselamatkan.
Menurut laporan jabatan bomba, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan, apabila satu daripada blok bangunan itu runtuh, manakala sebahagian struktur sebuah lagi bangunan hampir roboh.
Punca runtuhan yang berlaku pada pagi Jumaat ketika ramai penduduk berkemungkinan masih tidur masih belum dikenal pasti.
Kawasan Metropolitan Recife terjejas akibat hujan lebat sejak malam Khamis, menyukarkan pihak bomba menjalankan misi mencari dan menyelamat untuk mengesan mangsa yang hilang.
#bangunan runtuh #Recife #Brazil #hujan lebat