Sekurang-kurangnya tiga maut akibat Taufan Melor

Agensi
Disember 15, 2015 13:15 MYT
Melor yang juga dikenali sebagai Nona di Filipina adalah taufan ke 17 melanda negara itu pada tahun ini. - AFP PHOTO / HANDOUT / NASA
SEKURANG-KURANGNYA tiga maut dalam kejadian berkaitan Taufan Melor yang membadai tengah Filipina sejak Ahad.
Taufan Melor mengakibatkan hujan lebat dan angin kencang sehingga menyebabkan jutaan penduduk terpaksa bergelap.
Pegawai bencana negara itu, Jonathan Baldo berkata, seorang disahkan meninggal dunia akibat hiportemia.
Manakala dua lagi lemas dalam banjir di bandar nelayan, Catarman di wilayah Samar Utara di Visayas, selatan Manila.
Sementara itu, Majlis Pengurusan Dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRMMC) berkata, taufan itu turut menumbangkan pokok dan menyebabkan bekalan elektrik terjejas.
Sekurang-kurangnya tujuh wilayah terjejas akibat ketiadaan bekalan elektrik itu.
Dalam perkembangan lain, lebih ramai penduduk di timur Filipina meninggalkan kediaman masing-masing untuk menyelamatkan diri daripada kesan Taufan Melor.
Sehingga kini, secara keseluruhannya, hampir 700,000 dipindahkan ke penempatan sementara akibat kediaman mereka dinaiki air dan ancaman ombak besar.
Hujan lebat mengakibatkan banjir dengan air naik sehingga empat meter.
Taufan Melor mengakibatkan beberapa sekolah terus ditutup manakala penerbangan pesawat tergendala dan jadual feri turut ditangguh sementara.
Biro cuaca Filipina memaklumkan, Melor membawa bersama angin selaju 150 kilometer sejam beserta hujan lebat.
Melor membadai kepulauan kecil, Pulau Batag dan kemudiannya bergerak ke wilayah Sorsogon.
Ia turut diramalkan melanda daerah yang pernah dibadai Haiyan pada November 2013 di mana ketika itu meragut lebih 6,300 nyawa dan menyebabkan lebih 1.4 juta penduduk hilang tempat tinggal.
Melor yang juga dikenali sebagai Nona di Filipina adalah taufan ke 17 melanda negara itu pada tahun ini.
Secara kira-kira 20 taufan dan ribut melanda Filipina setiap tahun.
#Filipina #Haiyan #Nona #Taufan Melor
;