Sekurang-kurangnya sembilan maut akibat banjir besar di Jakarta

Agensi
Januari 1, 2020 19:54 MYT
Penduduk menyeberangi banjir di Jatibening yang terletak di pinggir Jakarta. - AP Photo/Achmad Ibrahim
Hujan lebat pada malam tahun baharu menyebabkan banjir besar di Jakarta, mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan maut, menurut kenyataan pihak berkuasa pada Rabu.
Bekalan elektrik dimatikan di kawasan yang dinaiki air, dengan beberapa laluan kereta api dan sebuah lapangan terbang juga ditutup, lapor AFP.
Seorang remaja berusia 16 tahun maut akibat kejutan elektrik, manakala tiga lagi maut akibat hipotermia, kata wakil agensi pengurusan bencana Jakarta, Subejo.
Turut terkorban ialah pasangan warga emas yang terperangkap di rumah mereka apabila air naik setinggi 4 meter dengan pantas selepas tebing sungai runtuh.
Seorang lagi mangsa lemas manakala empat orang terbunuh akibat tanah runtuh di pinggir bandar.
"Kami telah menutup bekalan elektrik di banyak kawasan untuk mengelakkan lebih banyak kejutan elektrik," kata Ikhsan Asaad, seorang pegawai di syarikat tenaga PLN, kepada AFP.
Asaad berkata dia tidak dapat menganggarkan berapa ramai penduduk terjejas akibat penutupan bekalan elektrik itu.
"Kami memberi tumpuan terhadap langkah untuk memastikan keselamatan pengguna," katanya.
Pihak berkuasa berkata kira-kira 13,000 penduduk telah dipindahkan, tetapi angka itu tidak termasuk penduduk di beberapa bandar satelit Jakarta.
Beberapa imej menunjukkan rumah dan kereta tenggelam dalam banjir berlumpur, sementara sebilangan penduduk menaiki bot penyelamat getah kecil atau tiub tayar untuk mencari tempat selamat.
Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, yang mengendalikan pesawat komersial dan tentera, ditutup sementara kerana limpahan air di landasannya, menurut Kementerian pengangkutan.
Banyak penerbangan dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.
Bencana itu menjadi banjir terburuk di Jakarta sejak 2013.
Bandar raya yang dihuni 30 juta penduduk itu kerap dilanda banjir semasa musim hujan di Indonesia, yang bermula pada akhir bulan November.
#banjir #bencana #Indonesia #Jakarta #maut #terkorban
;