Sekurang-kurangnya empat terbunuh, 145 hilang akibat gempa bumi di Taiwan

Reuters
Februari 7, 2018 13:31 MYT
Seorang anggota polis mengawal sebuah bangunan yang hampir runtuh akibat gempa bumi di Hualien, Taiwan Februari 7, 2018. - REUTERS
Sekurang-kurangnya empat terbunuh manakala 225 lagi cedera dalam kejadian bangunan runtuh akibat gempa bumi yang melanda Hualien, tengah malam semalam.
Selain beberapa bangunan runtuh, laporan mendakwa 145 mangsa dikhuatiri masih hilang.
Pasukan penyelamat bekerja keras menyelamatkan mangsa hingga ada yang menggunakan tangan bagi mengorek timbunan bangunan tersebut.
Menurut pihak berkuasa, gempa bumi itu telah mengakibatkan kawasan sejauh 22 kilometer terjejas termasuk hospital ketenteraan.
Gempa bumi berukuran 6.4 magnitud yang melanda timur Taiwan malam semalam, menyebabkan sebuah hotel runtuh.
Pihak kerajaan Taiwan memberitahu, beberapa rakyat Jepun, China, dan Republik Czech turut menjadi mangsa.
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, meninjau tempat kejadian dan menggesa pihak berkepentingan melancarkan operasi menyelamat dengan segera.
Beberapa jalan raya rosak teruk dan pihak kecemasan berjaya menenteramkan orang awam yang trauma.
Pengusaha restoran, Lin Ching-wen memberitahu, ketika kejadian berlaku, restorannya sedang beroperasi seperti biasa.
“Saya sempat menarik isteri dan anak-anak menyelamatkan diri selain cuba membantu orang ramai,” katanya.
Pada tahun 2016, seramai 100 mangsa terbunuh akibat gempa bumi mencecah 7.6 Skala Ritcher di Selatan Filipina.
#mangsa #pelancongan Taiwan #Presiden Taiwan #Taiwan #Terbunuh #Tsai Ing-Wen
;