Sekurang-kurangnya 84 terbunuh dalam 'serangan' trak Nice
AFP
Julai 14, 2016 07:25 MYT
Julai 14, 2016 07:25 MYT
Sekurang-kurangnya 84 orang terbunuh dan ramai lagi cedera apabila sebuah trak merempuh orang ramai di sebuah resort di Nice, selatan Perancis, selepas satu pertunjukan bunga api sempena sambutan Hari Bastille, menurut pendakwa.
Menurut laporan AFP, pemandu lori itu ditembak mati selepas kejadian itu yang menyaksikan ratusan orang yang ketakutan melarikan diri dan meninggalkan kawasan tepi pantai itu yang berselerak dengan jasad mangsa.
"Seseorang memandu sebuah lori ke arah orang ramai. Dia telah dibunuh oleh polis," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Pierre-Henry Brandet.
Gambar yang diperolehi menunjukkan bahagian depan trak itu penuh dengan kesan tembakan dan rosak teruk, dengan tayarnya pecah.
Pegawai kerajaan tempatan Sebastien Humbert menyifatkan kejadian itu ‘serangan jenayah yang besar’.
Sementara itu, Robert Holloway, wartawan AFP yang terlihat trak putih itu dipandu laju di jalan tepi pantai, menyifatkan keadaan itu "huru-hara sama sekali.”
“Kami nampak orang dilanggar dan cebisan serpihan berterbangan. Beratus-ratus orang yang berada di tempat kejadian berlari sambil menjerit," katanya.
Menurut pendakwa raya Nice, Jean-Michel Pretre, trak itu dipandu dua kilometer (1.3 batu) sebelum merempuh orang ramai yang sedang menonton bunga api.
Saksi-saksi kejadian itu memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa mayat bergelimpangan di tempat kejadian dan ditutupi dengan kain.
Presiden wilayah itu Christian Estrosi berkata, 77 orang terbunuh sementara ramai lagi dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Estrosi berkata, trak itu mengandungi "senapang" dan "senjata lebih besar".
Pertumpahan darah itu terjadi lapan bulan selepas serangan jihad oleh kumpulan Daish di tempat hiburan malam di Paris yang mengorbankan 130 orang.
Perancis telah menjadi sasaran utama kumpulan itu beberapa kali dan telah berada di bawah keadaan darurat sejak itu, dengan keselamatan diperketatkan di seluruh negara tersebut.
Serangan ini berlaku hanya beberapa jam selepas Perancis mengumumkan bahawa darurat diisytiharkan selepas serangan November lalu.
Presiden Francois Hollande berkata perintah itu tidak akan diperbaharui selepas 26 Julai, kerana satu undang-undang baru bagi memperkasa keselamatan di Perancis telah diterima pakai sejak Mei.