Sekurang-kurangnya 63 maut dalam kebakaran bangunan di Johannesburg
Bernama
Ogos 31, 2023 15:23 MYT
Ogos 31, 2023 15:23 MYT
JOHANNESBURG: Sekurang-kurangnya 63 maut manakala 43 yang lain cedera dalam kebakaran di pusat perniagaan di bandar terbesar Afrika Selatan, Johannesburg, pada awal pagi Khamis.
Menurut pejabat Pengurusan Kecemasan Johannesburg dalam kenyataan menerusi platform X, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan.
“Sejurus tiba, anggota bomba membawa keluar semua orang yang berada dalam bangunan sambil menjalankan operasi pemadaman api.
“Pada ketika ini, sekurang-kurangnya 63 orang disahkan maut di lokasi kejadian dan 43 mangsa diberi rawatan di lokasi sebelum dipindahkan ke pelbagai fasiliti kesihatan untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Kebakaran bermula kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah bangunan lima tingkat di persimpangan Jalan Alberts dan Delvers.
Laporan media antarabangsa menunjukkan jentera pihak bomba dan perkhidmatan kecemasan berada di tempat kejadian, manakala jasad mangsa dilitupi di sepanjang jalan berhampiran.
Difahamkan premis yang terbakar itu merupakan bangunan kediaman lima tingkat yang terbengkalai, namun dihuni oleh gelandangan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.