Sekurang-kurangnya 60 maut dalam serangan militan di akademi polis Pakistan
Agensi
Oktober 24, 2016 07:15 MYT
Oktober 24, 2016 07:15 MYT
Sekurang-kurangnya 60 terbunuh manakala 118 yang lain cedera selepas sebuah pusat latihan polis di Quetta, Pakistan menjadi sasaran serangan militan lewat malam tadi.
Menurut Menteri Dalam Negeri Pakistan, Sarfaraz Bugti yabng ditemui di lokasi serangan, tiga anggota militan yang lengkap dengan vest sarat letupan sebelum itu dilihat memasuki perkarangan akademi terbabit.
Mereka menjadikan menara pengawasan sebagai sasaran pertama sebelum menyerbu bangunan utama.
Laporan oleh Kementerian Kesihatan negara itu berkata, kebanyakan mangsa terdiri daripada pelatih pusat berkenaan.
Menurut laporan awal, enam penyerang memasuki bangunan pusat itu dan mula menembak rambang di pusat berkenaan.
Menurut polis, penyerang juga dipercayai menahan tebusan.
Dua daripada anggota militan bagaimanapun berjaya ditembak mati dalam operasi menyelamat yang turut disertai tentera Pakistan.
Ini adalah kematian ketiga paling tinggi dalam insiden membabitkan serangan militan di negara itu tahun ini.