Sekurang-kurangnya 40 maut kemalangan bas di Kenya
Astro Awani
Februari 27, 2013 06:12 MYT
Februari 27, 2013 06:12 MYT
Hampir 40 maut dalam nahas membabitkan bas di Kenya. Ia berlaku selepas kenderaan berkenaan terbabas selepas hilang kawalan berhampiran Tulimani, 202km di timur ibu negara, Nairobi.
Kebanyakan mangsa membabitkan pelajar universiti yang pulang untuk mengundi di Mandera.
Bekas ahli parlimen Mwingi South, David Musila berkata, bas tersebut membawa penumpang remaja rata-ratanya pelajar universiti yang pulang ke Mandera untuk mengundi. Setakat ini 35 penumpang disahkan terbunuh dan lebih 50 orang lagi masih dirawat di hospital Mwingi.
Kenya antara negara yang mencatatkan kadar kemalangan tinggi di mana lebih 3 ribu dilaporkan maut setahun.
Menurut pakar keselamatan jalan raya, kekurangan pelaksanaan peraturan yang ketat menjadi salah satu punca.
Selain itu, ia turut dikaitkan dengan amalan rasuah di kalangan anggota penguatkuasa.
Bagi mengatasi masalah berkenaan, Kenya memperkenalkan undang-undang baru tahun lalu yang mengenakan tindakan tegas ke atas pesalah jalan raya.