Sekurang-kurangnya 3 maut, puluhan lagi hilang bot karam di Bangladesh

Bernama
Julai 17, 2023 12:22 MYT
Bot yang membawa lebih 50 penumpang itu karam selepas berlanggar dengan tongkang yang sarat dengan muatan pasir. - Gambar hiasan
DHAKA : Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan 25 lagi hilang pada Ahad, selepas sebuah bot karam di Sungai Buriganga di Bangladesh, kata pegawai.
Bot yang membawa lebih 50 penumpang itu karam selepas berlanggar dengan tongkang yang sarat dengan muatan pasir, lapor Agensi Anadolu.
Pegawai Bomba dan Penyelamat, Abdul Malek Mollah berkata pasukannya telah menyelamatkan lapan orang, lima daripadanya selamat.
"Pihak Berkuasa Pengangkutan Air Dalam Negeri Bangladesh (BIWTA) sedang cuba mengesan bot itu. Sebaik sahaja kami berjaya membawanya ke darat, kami boleh menentukan sama ada ada mayat di dalamnya," katanya.
Perlanggaran berlaku ketika bot itu, yang berlepas dari Terminal Sadarghat di Dhaka dalam perjalanan ke Terminal Telghat di Keraniganj.
Bencana semula jadi bermusim seperti ribut dan taufan, cuaca berkabus pada musim sejuk, keadaan kapal yang tidak sempurna, pemandu tidak mahir dan muatan berlebihan telah dikenal pasti sebagai punca utama banyak kejadian kapal karam berlaku.
Menurut rekod Jabatan Perkapalan Bangladesh, lebih 550 kapal penumpang karam antara 1991 dan 2020, membunuh lebih 3,600 orang dan menyebabkan hampir 500 orang hilang.
-- BERNAMA
#bot karam #Bangladesh #lemas #ungai Buriganga
;