Sekurang-kurangnya 3 maut dalam serangan peluru berpandu Rusia di Ukraine
Bernama
Februari 18, 2024 20:40 MYT
Februari 18, 2024 20:40 MYT
KYIV: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam serangan dron dan peluru berpandu Rusia di timur Ukraine, menurut pemimpin tempatan pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Gabenor tentera wilayah Donetsk, Vadym Filashkin berkata dua mayat ditemukan di bawah runtuhan sebuah bangunan kediaman di bandar Kramatorsk yang terkena serangan peluru berpandu.
Selain itu, ketua pentadbiran tentera di wilayah Kharkiv, Oleh Syniehubov melaporkan seorang terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan ke atas bangunan kediaman dua tingkat di bandar Kupiansk.
Menurut Tentera Udara Ukraine, Rusia menyerang negara jirannya semalaman dengan enam peluru berpandu anti-pesawat S-300 dan tiga peluru berpandu jelajah Ch-22 serta peluru berpandu udara-ke-permukaan Ch-59.
Selain itu katanya, tentera Rusia melancarkan 14 dron tempur Shahed, dengan 12 daripadanya berjaya dimusnahkan sebelum sampai ke sasaran.
-- BERNAMA