Sekurang-kurangnya 23 pengganas Boko Haram terbunuh di Nigeria
Bernama
Ogos 27, 2023 11:15 MYT
Ogos 27, 2023 11:15 MYT
ABUJA (Nigeria): Sekurang-kurangnya 23 pengganas Boko Haram terbunuh pada Sabtu dalam operasi menentang kumpulan itu di negeri Borno di timur laut Nigeria, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pengarah operasi media pertahanan, Mej Jeneral Edward Buba dalam satu kenyataan berkata, tentera meneruskan operasi menentang kumpulan pengganas di Borno.
Buba berkata, 23 pengganas maut tetapi ramai yang melarikan diri dengan kecederaan.
Sambil menyatakan 41 tebusan telah diselamatkan, beliau berkata, senjata dan peluru penting milik pengganas telah dirampas.
Nigeria telah memerangi kumpulan pengganas di kawasan timur lautnya sejak 2009 dengan lebih 100,000 orang, termasuk orang awam dan anggota keselamatan terbunuh menurut data kerajaan. - BERNAMA