Sekurang-kurangnya 21 maut dalam kebakaran di lombong arang batu di Kazakhstan

Bernama
Oktober 28, 2023 17:03 MYT
Sebuah ambulans memandu keluar dari kawasan lombong arang batu Kostenko yang dikendalikan oleh ArcelorMittal ketika operasi menyelamat susulan kejadian kebakaran di lombong berkenaan. - Foto REUTERS
BERLIN: Sekurang-kurangnya 21 pekerja maut dalam kebakaran di lombong arang batu di Kazakhstan, lapor agensi berita Jerman dpa.
Seramai 23 lagi pelombong disenaraikan sebagai hilang susulan insiden yang berlaku di bandar perindustrian Karaganda, kata syarikat ArcelorMittal.
Menurut syarikat multinasional itu, seramai 208 daripada 252 pekerja terselamat.
Pada Ogos lalu, kemalangan maut berlaku di satu daripada lombong milik syarikat yang sama.
Sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan mendapati syarikat itu perlu bertanggungjawab atas insiden berkenaan.
Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev dilaporkan telah mengarahkan kerajaan untuk menamatkan kerjasama pelaburan dengan Arcelormittal.
-- BERNAMA
#Kazakhstan #lombong arang batu #ArcelorMittal #kebakaran
;