Sekurang-kurangnya 20 maut dalam serangan hotel di Burkina Faso

Agensi
Januari 16, 2016 08:38 MYT
Laporan awal menyebut serangan di Hotel Splendid itu menyebabkan empat maut, dan seorang dijadikan tebusan oleh kumpulan penyerang.
Sekurang-kurangnya 20 terbunuh dan 15 lagi cedera dalam serangan di sebuah hotel di ibu negara Burkina Faso pada Jumaat malam.
"Kami tiada jumlah mangsa yang tepat, tetapi ada sekurang-kurangnya 20 yang maut," kata Robert Sangare, ketua jospital Yalgado Ouedraogo.
"Sekurang-kurangnya 15 dengan luka tembakan dan yang lain dengan kecederaan biasa ketika cuba melarikan diri."
Kejadian serangan yang membabitkan enam penyerang bersenjata itu dilaporkan berlaku di sebuah hotel empat bintang di sini pada pukul 7.30 malam Jumaat.
Laporan awal menyebut serangan di Hotel Splendid itu menyebabkan empat maut dan seorang dijadikan tebusan oleh kumpulan penyerang.
Insiden serangan bom dan tembak menembak di Ouagadougou itu memburukkan lagi situasi di Burkina Faso yang sedang dilanda pergolakan politik.
Maklumat risakan antarabangsa menyebut sekutu kumpulan al-Qaeda di Afrika mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Dua letupan bom kereta dilaporkan berlaku, dan beberapa kereta yang diletakkan di sekitar hotel terbabit turut terbakar.
Pihak keselamatan dikatakan masih berbalas tembakan di tempat kejadian setakat ini.
#hotel splendid #Ouagadougou #penyerang bersenjata #serangan pengganas
;