Sekurang-kurangnya 20 maut dalam insiden tembakan rambang di El Paso
AP Newsroom
Ogos 4, 2019 08:48 MYT
Ogos 4, 2019 08:48 MYT
Sejumlah 20 pengunjung terbunuh manakala 26 lagi cedera dalam insiden tembakan rambang di sebuah pasar raya di El Paso, Texas, Amerika Syarikat pada petang Sabtu, waktu tempatan.
Perkara itu disahkan Gabenor Texas, Gref Abbott yang menyifatkan tragedi itu sebagai ‘hari kematian’ paling teruk pernah berlaku di negeri itu.
Suspek lelaki berusia 21 tahun yang dikenal pasti sebagai Patrick Crusius dilaporkan berjaya ditahan.
Pihak berkuasa, dalam pada itu, masih menyiasat dakwaan manifesto yang menunjukkan bahawa serangan itu bermotifkan jenayah kebencian, kata Ketua Polis El Paso, Greg Allen.
Sementara itu, pihak hospital turut mengesahkan merawat antara 22 ke 23 mangsa tembakan dengan sembilan mangsa dilapor berada dalam keadaan kritikal.
Terdahulu, pihak polis mengesahkan menerima laporan insiden tembakan sekitar jam 10.45 pagi waktu tempatan di pasar raya Walmart berhampiran pusat beli belah Cielo Vista.
Jurucakap polis, Sarjan Robert Gomez memberitahu, ketika kejadian, dianggarkan 1,000 hingga 3,000 pelanggan berada di dalam pasar raya berkenaan sebelum bantuan tiba enam minit kemudian.
Sementara itu, Datuk Bandar El Paso, Dee Margo menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi yang tragik.
“Ia sangat tragik. Ia bukan sesuatu yang sepatutnya berlaku di El Paso,” kata Margo.