Sekurang-kurangnya 20 maut dalam insiden kereta api bertembung di Itali
Agensi
Julai 12, 2016 19:43 MYT
Julai 12, 2016 19:43 MYT
Sekurang-kurangnya 20 maut dan puluhan lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua kereta api bertembung di Puglia, selatan Itali.
Rakaman media tempatan menunjukkan bantuan kecemasan bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam dua gerabak.
Pegawai rasmi negara itu berkata kemalangan berlaku di landasan tunggal laluan kereta api, lapor AFP.
"Beberapa gerabak dalam keadaan remuk dan pasukan menyelamat berusaha mengelurkan mangsa yang terperangkap. Banyak lagi yang cedera," ujar Ketua Polis Trafik di Andria, Riccardo Zingaro, kepada wartawan di lokasi.
Perdana Menteri Matteo Renzi dalam ucapannya di Milan sempat mengulas insiden itu dengan menyatakan 'negara tidak akan berhenti mencari jawapan kepada perkara tersebut'.
"Ini adalah berita yang mendukacitakan dan kita harus bekerja untuk menyelamatkan mangsa," tambahnya yang segera pulang ke Rom berikutan insiden itu.
Pasukan penyiasat berkata, tidak mustahil kemalangan itu disebabkan kesilapan manusia.
Salah satu daripada empat gerabak kereta api itu seharusnya menunggu lampu hijau di sebuah stesen sebelum bergerak melalui landasan tunggal antara bandar Corato dan Andria.